Fasa dua PRK Tanjung Piai: Barisan pemimpin PH bakal turun padang

Fasa dua PRK Tanjung Piai: Barisan pemimpin PH bakal turun padang
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (kiri) dalam sidang media ersama calon PH Karmaine Sardini hari ini.-Foto Bernama.

Lebih ramai barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) akan mula turun ‘padang’ dalam fasa kedua Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bagi membantu kempen dan memberi sokongan kepada calon parti gabungan itu, Karmaine Sardini.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata antara pemimpin tertinggi PH yang dijangka hadir adalah Pengerusi PH iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya lagi, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bakal memberi ceramah serta bertemu jentera parti bagi memastikan kerusi Parlimen itu terus dipertahankan wakil daripada PH.

“Datuk Seri Anwar dijangka memberi empat ceramah umum, bertemu jentera dan memberi arahan kepada parti (bantu berkempen) di kawasan Parlimen ini bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam pada 11 Nov ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) PH Teluk Kerang, dekat sini hari ini.

Turut hadir Karmaine yang juga merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai.

“Setakat pengamatan saya, sudah masuk fasa kedua (tempoh berkempen)…minggu depan kita akan menyaksikan pimpinan utama PH akan turun padang dimulai dengan hari Isnin (11 Nov) Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudian ada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan saya fikir akan ada lapisan barisan kepimpinan yang akan silih berganti,” kata Shamsul Iskandar.

Beliau turut menjelaskan kurangnya penglibatan pemimpin utama PH pada fasa pertama PRK itu kerana kebanyakan pemimpin mempunyai jadual yang padat serta kekangan masa berikutan perlu menghadiri persidangan Parlimen.

“Kita sedia maklum bahawa kita punya kekangan kerana ada sesi Parlimen tetapi kita akan cuba selitkan mana-mana masa kelapangan (untuk turun bantu calon berkempen)…macam saya, semalam habis (sidang Parlimen) dalam pukul 7 malam saya sempat memberi tiga ceramah sejurus tiba dari Kuala Lumpur,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov, manakala pengundian awal pada 12 Nov ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan Karmaine dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Wendy Subramaniam mewakili Gerakan serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Dr Md Farid yang mewakili PH menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).-

BERNAMA