FashionValet: Anwar Ibrahim arah Khazanah laksana audit dalaman, siasat kerugian RM43.9 juta

Oleh WAN SITI AMINAH

“Selaku Pengerusi, saya telah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk melakukan audit dalaman,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kerugian pelaburan RM43.9 juta membabitkan FashionValet Sdn. Bhd.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan itu, arahan tegas tersebut selari dengan pengumuman beliau sebelum ini dalam mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) untuk melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Anwar menjelaskan, pengauditan itu perlu dilakukan untuk mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik selain memastikan kesemua syarikat GLC memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing.

“Arahan tegas ini adalah sebagai memaknai pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik.

“Tindakan ini juga bagi memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” kata Anwar menerusi satu hantaran di akaun X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) miliknya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan siasatan berkaitan kerugian pelaburan Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bernilai RM43.9 juta akan dijalankan secara adil dan profesional.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, siasatan itu penting kerana kerugian bernilai RM43.9 juta tersebut melibatkan penggunaan dana awam dan telah menjadi isu berkepentingan awam.

Terdahulu, Khazanah dan PNB dilaporkan meraih RM3.1 juta hasil daripada penjualan pegangan saham minoriti dalam syarikat Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera iaitu NXBT Partners pada tahun 2023.

Jumlah tersebut diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta dilakukan Khazanah dan PNB pada 2018 dengan masing-masing berjumlah RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti di dalam syarikat pengendali platform e-dagang fesyen itu.

Pengasas bersama FashionValet iaitu Vivy dan suaminya, Datuk Fadzarudin Anuar kemudian mengumumkan bakal melepaskan jawatan mereka di dalam platform e-dagang fesyen berkenaan menerusi satu hantaran di platform Instagram.

Vivy dan suaminya turut menyampaikan permohonan maaf kepada Khazanah dan PNB berikutan kontroversi yang mengaitkan kedua-dua pihak terbabit sekali gus mengambil tanggungjawab penuh di atas kegagalan pelaburan tersebut.

Baca juga: FashionValet: Kerugian libatkan dana dan kepentingan awam, SPRM mulakan siasatan