Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa siasatan berhubung kerugian pelaburan dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet sudah dimulakan.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, siasatan ini sememangnya penting memandangkan kerugian berjumlah RM43.9 juta itu melibatkan isu dana dan kepentingan awam.
Difahamkan, siasatan yang dijalankan oleh agensi antirasuah berkenaan bertujuan untuk mengesan sama ada isu itu mempunyai kaitan dengan unsur-unsur jenayah, masalah tatakelola atau sebagainya, lapor Astro AWANI.
“Saya telah mengarahkan para pegawai untuk memulakan siasatan kerana perkara ini melibatkan isu dana dan kepentingan awam.
“Jadi siasatan perlu (dilakukan) sama ada terdapat unsur-unsur jenayah atau ada hal-hal lain yang berkaitan dengan isu tatakelola,” katanya memetik laporan Astro AWANI.
Terdahulu nama pengasas bersama FashionValet iaitu usahawan, Vivy Yusof menjadi topik perbincangan hangat di media sosial selepas Khazanah dan PNB dilaporkan mengalami kerugian susulan melabur dalam syarikatnya.
Ahli perniagaan yang juga pempengaruh media sosial itu turut digesa masyarakat untuk membuat penjelasan berhubung isu kerugian sebanyak RM43.9 juta direkodkan Khazanah dan PNB melibatkan pelaburan dana awam tersebut.
Difahamkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil daripada penjualan pegangan saham minoriti dalam syarikat Fashion Valet (Fashion Valet Sdn Bhd) iaitu sebuah platform e-dagang fesyen kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah tersebut diperoleh berbanding pelaburan bernilai RM47 juta yang dilakukan Khazanah dan PNB pada 2018 dengan masing-masing berjumlah RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam Fashion Valet.
Pasangan pengasas FashionValet iaitu Vivy dan suaminya, Datuk Fadzarudin Anuar kemudian mengumumkan bakal melepaskan jawatan mereka di dalam platform e-dagang fesyen berkenaan menerusi satu hantaran di platform Instagram.
Vivy dan suaminya turut menyampaikan permohonan maaf kepada Khazanah dan PNB berikutan kontroversi yang mengaitkan kedua-dua pihak terbabit sekali gus mengambil tanggungjawab penuh di atas kegagalan pelaburan tersebut.
Sebagai individu yang bertanggungjawab menguruskan syarikat, Vivy mengaku turut merasa kecewa dan kesal dengan diri sendiri sebaik berita kerugian tersebut heboh diperkatakan di pelbagai platform media sosial.
Menurut Vivy dan Fadza, kegagalan FashionValet adalah disebabkan perkembangan yang terlalu agresif dan tidak dirancang dengan baik sehingga menyebabkan perniagaan terjejas dengan teruk apabila pandemik Covid-19 melanda dunia.
Baca juga: