Fasisme, rasisme dan politik identiti melanda dunia

Fasisme, rasisme dan politik identiti melanda dunia

 

 

 

Sepanjang minggu lalu, jika mengikuti perkembangan dalam media sosial, adalah dapat dirasakan bahawa suhu perkauman sedang meningkat di negara ini.

Di satu pihak terdapat kalangan rakyat Malaysia yang berdemonstrasi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sementara banyak pihak lain pula yang menyokong ratifikasi ICERD.

Walaupun bantahan atau sokongan terhadap ratifikasi ICERD di Malaysia mempunyai hubungan dengan kedudukan unik komposisi kaum dan sejarah berkaitan dengannya, tetapi ia bukan fenomena terpencil di dunia pada waktu ini.

Perasaan takut terhadap pendatang disertakan dengan peningkatan semangat kebangsaan, perkauman dan keagamaan sedang berlaku di merata-rata tempat di seluruh dunia menyebabkan apa yang berlaku di Malaysia bukanlah suatu perkara unik, tetapi merupakan sebahagian daripada fenomena global, dan bukannya berkaitan dengan masalah tempatan semata-mata.

Di Malaysia, bantahan terhadap ratifikasi ICERD berlaku kerana terdapat kebimbangan bahawa orang Melayu akan kehilangan kedudukan hak istimewanya, disertakan sekali dengan soal ketuanan Melayu, kedudukan raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi.

Sementara pihak yang menyokong ICERD pula mahu menegaskan bahawa dalam negara demokrasi moden, diskriminasi kaum sudah tidak ada tempat.

Sama ada kedudukan hak istimewa orang Melayu, Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan agama rasmi Islam adalah merupakan diskriminasi, ia memerlukan perbahasan lain.

Tetapi sikap ini menunjukkan bahawa ada pembantah ratifikasi ICERD berpendapat dasar-dasar itu merupakan diskriminasi.

Tetapi cuba lihat Britain yang mana majoriti rakyatnya telah memilih Brexit, iaitu mahu mengeluarkan negaranya daripada Kesatuan Eropah (EU).

Ini kerana mereka bimbang bahawa para pendatang dari negara-negara Eropah sedang merampas peluang-peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan. Ia tentunya tiada kaitan dengan hak istimewa orang Inggeris, Raja Inggeris, bahasa Inggeris dan agama Kristian.

Di Malaysia, pembantah ratifikasi ICERD tidak bimbang dengan kebanjiran pendatang asing dari Bangladesh, Vietnam, Indonesia dan Nepal. Apa yang mereka bimbang ialah kedudukan politik dan peluang ekonomi orang Melayu seperti dimaktubkan dalam Perlembagaan. Warganegara dari kaum Cina dan India tetap dianggap sebagai pendatang.

Sementara di Eropah, peningkatan sokongan pada parti-parti perkauman kanan jauh (far right) adalah berasaskan pada ketakutan terhadap pendatang dan pelarian khususnya dari kalangan orang Islam dari Timur Tengah dan Afrika.

Pada asasnya mereka takut pada keganasan yang datang dari orang Islam tetapi mereka juga bimbang bahawa nilai-nilai Barat sedang terhakis dengan kehadiran para imigran dan pelarian.

Selain daripada Islamofobia dan xenofobia, dalam perasaan mereka terdapat juga unsur-unsur neo-nazisme atau neo-fasisme dan rasisme.

Di Amerika Syarikat, rasa bimbang terhadap pendatang khususnya orang Islam juga berasaskan pada ketakutan terhadap terorisme. Tetapi sokongan yang diterima oleh Presiden Donald Trump juga mempunyai unsur ketuanan Kulit Putih dan agama Kristian.

Dalam perlembagaan Amerika tidak termaktub soal hak istimewa orang kulit putih atau Kristian merupakan agama rasmi. Tetapi kenyataan-kenyataan pemuka Parti Republikan menampilkan rasisem, politik identiti dan populis.

Terhadap imigran, para pendukung Trump bukan saja menolak orang Islam tetapi juga pendatang dari Amerika Tengah yang beragama Kristian Katholik.

Di India, kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) bukan saja mendapat sokongan daripada para pendukung nasionalis Hindu tetapi menjalankan polisi-polisi yang memperkecilkan kedudukan golongan minoriti termasuk penganut agama Islam dan Kristian. Tempat-tempat yang bernama perkataan Islam seperti Allahabad ditukar supaya kesan Moghul yang dianggap sebagai penakluk asing dikecilkan.

China juga bimbang terhadap identiti Islam orang Uyghur. Walaupun pada asasnya mereka bimbang bahawa orang Islam di Xinjiang berjuang untuk memisahkan wilayah itu menjadi Turkestan Timur melalui keganasan, maka Beijing melaksanakan proses sinifikasi (pencinaan) terhadap penduduk Uyghur atas nama pemodenan dan integrasi.

Di Myanmar, siapa yang menjadi mangsa bukan pendatang tetapi orang Rohingya yang kaum itu turun-temurun tinggal di situ. Mereka dibunuh dan dihalau oleh pihak tentera dan penduduk beragama Buddha.

Bukan saja orang Islam yang menjadi mangsa tetapi juga penganut agama Kristian. Mereka mahukan identiti Buddha dipertahankan.

Pakistan juga menyaksikan ekstremisme agama. Seorang Kristian yang dibebaskan atas tuduhan menghina agama Islam dituntut oleh para penunjuk perasaan supaya dibunuh. Tidak ada soal perikemanusiaan. Bagi mereka, apa yang menyentuh perasaan patut dihukum keras.

Sementara di Israel pula, ahli-ahli parlimen mereka telah meluluskan pindaan perlembagaan untuk menjadi negara mereka sebagai berasaskan kaum Yahudi. Bahasa Arab dipinggirkan. Sementara perang ke atas orang Palestin di Gaza tidak nampak kesudahannya.

Perang di Yaman dan Syria pula berasaskan pada persaingan geopolitik antara Arab Saudi dan Iran. Tetapi ia dilakukan atas semangat konflik mazhab. Dorongan dibuat supaya perang dibuat atas perasaan anti-Syiah. Sementara perseteruan antara bangsa Arab dan Parsi tidak terlepas daripada perkiraan ini.

Adakah konflik antara kaum dan agama merupakan arah tuju manusia dan dunia? Adakah satu negara itu terdiri hanya satu kaum dan agama? Sementara kaum dan agama lain yang menjadi minoriti wajar menerima mereka sebagai warganegara kelas kedua?

Tidak ada seseorang pun boleh memilih kaum, agama dan negara tempat mereka dilahirkan. Beruntunglah mereka yang lahir dalam kaum dan agama yang merupakan majoriti di sesebuah negara. Adakah dalam keadaan ini kaum minoriti tidak mempunyai hak setara dengan warganegara dari kalangan majoriti?

Adalah dirasakan bahawa semua negara di dunia mempunyai pelbagai kaum dan anutan agama. Bukan itu saja, terdapat pelbagai suku kaum dan mazhab di sesebuah negara.

Tidak ada jalan lain bagi manusia selain daripada hidup dengan toleransi dan harmoni dalam pelbagai kaum dan agama. Sebarang suhu panas perkauman dan keagamaan tidak akan mendatangkan manfaat.

Untuk mencapai keadaan itu, caranya ialah menahan diri daripada bersentimen kaum dan agama ketika berdepan dengan isu-isu berkaitan.

Dengan mengikut saja arus kebencian, ia akhirnya akan mengheret masyarakat kepada keadaan tegang, perbalahan dan peperangan.

Perang Dunia Pertama pada awal abad ke-20 mempunyai pencetusan daripada nasionalis Serbia yang mahu merdeka daripada imperialis Austria-Hungary. Dari kekalahan Jerman, muncul fahaman fasisme dan nazisme yang membawa kepada Perang Dunia Kedua.

Holocaust yang menyaksikan pembunuhan orang Yahudi membawa pula kepada realisasi cita-cita Zionisme menubuhkan Israel, maka akibatnya ialah rampasan tanah-tanah orang Palestin.

Akhirnya politik identiti ini membawa kepada kemusnahan dan suasana tidak selamat. Sebarang tindakan rasisme akan ditindak balas yang hampir sepadan, dan akhirnya tidak ada kesudahan.

Perbalahan akan berpanjangan secara turun-temurun. Apa saja tindakan yang boleh menghalang dan menghentikan masyarakat dan negara daripada terjerumus ke dalam pemikiran perkauman, maka ia merupakan sesuatu yang bermanfaat.

Akan ada saja orang yang cenderung untuk bersikap perkauman. Mungkin rasisme tidak boleh dihapuskan. Barangkali ia sudah tertanam dalam minda manusia.

Tetapi ternyata ia boleh dibendung dan dikawal. Kata-kata, tindak-tanduk dan sikap boleh mengurangkan perasaan rasisme. Sesungguhnya hidup lebih selesa dan indah tanpa sikap perkauman.