Fatehah lega raih perak di GP Asia Tenggara

Fatehah lega raih perak di GP Asia Tenggara

Pelumba berbasikal trek wanita kebangsaan, Fatehah Mustapa mampu menarik nafas lega apabila berjaya meraih pingat perak bagi acara pecut, di Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara 2019 di Velodrom Nasional  pada Khamis.

Atlet berusia 30 tahun itu mengakui gembira, apabila kejayaannya hari ini membuktikan beliau mampu mencapai indeks pencapaian prestasi (KPI), yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara.

“Syukur Alhamdulillah, saya dapat masuk final pun adalah bonus untuk diri saya sendiri, sebab semua tahu nama saya dah lama tenggelam sejak dah kena gugur daripada Asian Games dan sebagainya.

“Jadi harapannya, ini satu pembakar semangat untuk diri saya sendiri, kembali perbaiki dan bersedia untuk ke Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan Oktober ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dalam acara itu, pelumba dari Indonesia, Crismonita Dwi Putri muncul juara dengan catatan masa 11.511s mengatasi Fatehah yang menamatkan saingan dengan catatan masa 13.092s.

Beliau turut membuktikan masih berbisa apabila mencatat masa terbaik peribadinya tahun ini 11.248s pada pusingan kelayakan, selepas kali terakhir mencapai rekod peribadi 11.1s pada siri Piala Dunia 2015 di Paris.

Fatehah merupakan antara empat pelumba berbasikal trek di bawah Program Podium yang mengalami kemerosotan prestasi, dan diberi tempoh sehingga Oktober, untuk membuktikan mengapa mereka tidak boleh disingkirkan daripada program tersebut dan ditarik balik semua elaun bulanan yang dinikmati sebelum ini.

Fatehah turut mengakui sokongan padu ahli keluarganya menjadi pembakar semangat dan motivasi tertinggi untuk dirinya kembali bangkit dari kekecewaan sebelum ini.

Dalam pada itu, jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang bertanding di bawah pasukan sendiri menang mudah menewaskan pelumba dari Korea, Park Jeone dengan catatan masa 11.347s dalam perlawanan akhir acara sama.

Atlet yang dikenali dengan gelaran The Pocket Rocketman itu memberitahu kejayaanya itu adalah hasil daripada strategi perangkap yang telah diatur.

“Mungkin nampak macam saya menang mudah, tapi itu semua daripada hasil saya rancang perangkap untuk dia. Jadi Alhamdulillah tengok semua okay, jadi saya hendak fokus kepada acara keirin pula esok (Jumaat).

Bagaimanapun, Azizul mengakui pelumba Korea itu memberi tentangan hebat, dan hampir terperangkap dengan strateginya.

“Saya terperangkap sekejap dengan taktik dia masa akhir itu sebab dia pergi awal sehingga membuatkan saya perlu mengejar semula dia. Walaupun saya tiada masalah untuk kejar, tapi saya kerja keras sikit sebab gearing saya lebih berat daripada dia,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus Sahrom perlu akur dengan kekalahannya, apabila gagal meraih tempat di podium dan sekadar berpuas hati di tempat keempat bagi acara sama.– BERNAMA