Malaysia Dateline

Fatihah cabar PN buktikan beliau pengaruhi keputusan Speaker Dewan Rakyat

Setiausaha Sulit kepada Speaker Dewan Rakyat, Fatihah Salahuddin mencabar agar dibuktikan beliau pernah mempengaruhi keputusan Tan Sri Datuk Mohd Ariff Mohd Yusof sehingga usul menamatkan lantikan Speaker itu dibawa ke Parlimen

Ia susulan dakwaan bahawa usul dilucutkan jawatan Mohd Ariff berikutan tindak tanduk pegawai beliau yang kerap mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama dua pegawainya yang ketika ini merupakan ahli pimpinan dalam AMANAH.

FATIHAH SALAHUDDIN

Fatihah menegaskan bahawa inilah kali pertama dalam sejarah yang menyaksikan kewujudan pegawai politik dilihat sebagai ancaman kepada kerajaan.

“Sebelum melihat sisi pegangan politik seseorang, adalah lebih baik menilai kualiti kerja yang dilakukan secara penuh profesional oleh saya sebagai Setiausaha Sulit kepada Speaker.

“Saya telah mengendalikan sebanyak 42 program yang melibatkan antara Parlimen/Pejabat Speaker dengan sekolah-sekolah, Universiti, badan pemikir, organisasi antarabangsa, kementerian serta kedutaan asing.

“Tiada langsung sebarang unsur politik mahupun agenda AMANAH yang diterapkan kepada mereka yang terlibat sepanjang program-program tersebut dijalankan.

“Sekiranya ada, saya mencabar mereka yang menuduh untuk membuktikannya,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Terkini, laporan dari PN BBC Portal mendakwa terdapat dua pegawai Speaker dalam kalangan pemimpin AMANAH yang kerap memuat naik status menghentam kerajaan di media sosial selama dalam ceramah anjuran parti itu.

Lapor portal tersebut, seorang daripada pegawai terbabit adalah anak kepada pemimpin utama AMANAH yang juga bekas menteri kerajaan Pakatan Harapan.

Selain Mohamad Ariff, timbalan speaker Nga Kor Meng daripada DAP juga akan digantikan dengan nama ahli Parlimen Pengerang, Datuk S Azalina Othman Said disebut-sebut bakal mengambil alih tempat tersebut.

Fatihah yang juga Pengarah Komunikasi Angkatan Wanita Muda AMANAH Nasional (WARDA) berkata, beliau yakin dipilih oleh Mohd Ariff atas merit yang ada di mana beliau pada hemat Speaker, layak dan mampu untuk membantu melaksanakan reformasi Parlimen secara berkesan.

Jelasnya, sama sekali tiada alasan daripada parti mana beliau datang dan wakili.

“Saya mempunyai kelulusan dan kelayakan yang mana saya telah pun buktikan kebolehan saya sebagai seorang Setiausaha Sulit dan Pegawai Penyelaras Program Pejabat Speaker.

“Buktikan bahawa tindak tanduk saya telah mempengaruhi keputusan Tan Sri sepanjang beliau berkhidmat sebagai Speaker sehinggakan tindak-tanduk saya dijadikan sebagai alasan mengapa usul untuk mengganti Speaker dihantar,” ujarnya lagi.