Fatimah jadi duyufurrahman di sebalik pelbagai kekangan

Fatimah jadi duyufurrahman di sebalik pelbagai kekangan

Kehidupan Fatimah Eral dengan pendapatan RM40 sehari hasil membuat kuih dan nasi kuning yang bagaikan kais pagi makan pagi menjadi kekangan untuknya mengumpul wang bagi merealisasikan impian menunaikan haji.

Ibu kepada tiga anak dari Semporna, Sabah itu yang ditinggalkan suami sejak 10 tahun lepas terpaksa menolak tawaran Lembaga Tabung Haji (TH) untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu pada tahun lepas dan tahun ini akibat kekangan kewangan.

Namun, Fatimah, 62, tidak menyangka lawatan petugas TH ke rumahnya April lepas membawa sinar untuknya apabila selepas itu beliau dimaklumkan terpilih untuk program Tabung Warga Tua (TWT) yang mana perbelanjaan mengerjakan haji dibiayai tabung itu.

“Saya tidak percaya tiba-tiba dapat tawaran naik haji, saya menangis bersyukur, tetapi saya bertanya juga (pada diri sendiri) betul-betul ke dipanggil (menunaikan haji) kerana saya pun tidak berduit (untuk menunaikan haji).

“Duit saya di Tabung Haji ada RM1,300 itu saja, lain daripada itu saya tidak tahu apa-apa saya tidak sangka, hanya Tuhan tahu siang malam saya menangis sahaja, betulkah saya dipilih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah di Abraj Janadriyah di sini hari ini.

Fatimah berkata selain bantuan daripada TH, beliau tidak memperoleh apa-apa bantuan lain selain wang pemberian keluarga serta jiran-jirannya berjumlah kira-kira RM350 sebagai bekalan dan perbelanjaan di Tanah Suci.

“Saya tiada belanja apa-apa sangat di sini, tidak membeli-belah, makan minum semua ada Tabung Haji sediakan. Terima kasih banyak-banyak Tabung Haji bawa saya ke sini, ramai orang tidak tahu hidup saya bagaimana tetapi Tuhan sentiasa tahu kerana itu, saya amat bersyukur,” katanya.

Ditanya tentang keluarga yang terpaksa ditinggalkannya di Semporna untuk menyambut seruan sebagai duyufurrahman atau tetamu Allah, Fatimah dengan sebak memberitahu beliau risau dengan keadaan anak bongsunya berusia 13 tahun namun sentiasa berdoa agar mereka sentiasa dilindungi Allah.

Sementara itu, Pengarah TH Sabah Datin Norlaila Said dalam sidang media sama berkata Fatimah merupakan antara 50 jemaah haji yang dipilih untuk program TWT tahun ini yang merupakan salah satu program khidmat masyarakat TH membantu golongan memerlukan mengerjakan haji.

“Bantuan ini ikut baki simpanan (di TH) bakal haji itu, contohnya ada RM1,000. Progam ini cukupkan kewangan (bayaran haji) RM9,980 jemaah haji itu,” katanya.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.– BERNAMA