Fattah Amin kini bergelar ‘orang korporat’, dilantik jadi Ketua Eksekutif Pemasaran kambing perap

Oleh WAN SITI AMINAH

Rezeki pelakon sensasi, Fattah Amin nampaknya semakin mencurah-curah sejak bergelar duda malah kini dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pemasaran (CMO) untuk sebuah jenama produk kambing perap segera popular.

Khabar itu diumumkan oleh pihak pengurusan jenama produk kambing berkenaan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di pelbagai platform media sosial termasuk Facebook, sebentar tadi.

Pihaknya berharap dengan perlantikan itu, Fattah Amin dapat merancang dan melaksanakan pembangunan usahawan selain merangka strategi jualan yang relevan melalui media massa serta media sosial.

“Selamat datang Abdul Fattah Mohd Amin. Tahniah Fattah Amin di atas perlantikan sebagai Ketua Eksekutif Pemasaran Pak Mat Western Group.

“Saya harap Fattah mampu pikul amanah jawatan dengan penuh cemerlang,” katanya menerusi hantaran tular yang kini sudah meraih mencecah 18,000 tanda suka daripada pengguna platform Facebook.

Difahamkan, perlaksanaan pelantikan baharu melibatkan bintang filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu secara rasmi berkuat kuasa bermula pada hari ini iaitu 20 November.

Terdahulu, Fattah Amin menjalinkan kerjasama dengan jenama kambing perap segera berkenaan untuk menjual produk mereka di dalam satu sesi siaran langsung di platform TikTok.

Bukan sahaja berjaya menjual hampir 10,000 set kambing perap, Fattah juga telah memecahkan rekod tontonan siaran langsung akaun TikTok syarikat itu dengan jumlah sukaan melebihi 25 juta kali.

Untuk menghargai pencapaian Fattah, Pak Mat Western bercadang untuk memberikan komisen kira-kira melebihi RM90,000 namun pelakon itu menolaknya dan meminta agar ia diinfakkan kepada golongan memerlukan.

Sekadar info, Fattah Amin bergelar duda selepas sah bercerai dengan pelakon popular, Nur Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 7 Oktober lalu.

Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun, pasangan yang mendirikan perkahwinan pada 27 November 2017 itu dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun.

Baca juga: Nafi pura-pura prihatin, Shuib akui khilaf, mahu perbaiki diri