Ahli politik, masyarakat diminta hormati fatwa, hindari polemik

Ahli politik, masyarakat diminta hormati fatwa, hindari polemik

Ahli politik dan masyarakat diminta supaya menghormati fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Fatwa Negeri tanpa mempolemikkannya untuk kepentingan parti, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor Ahli politik dan masyarakat diminta supaya menghormati fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Fatwa Negeri tanpa mempolemikannya untuk kepentingan parti kata Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, mana-mana keputusan fatwa dibuat berdasarkaan kepada kaedah tertentu di samping mempertimbangkan kepentingan awan dan persekitaran.

“Saya amat berharap agar ahli politik khasnya dan masyarakat amnya dapat menghormati fatwa yang diputuskan oleh AJK Fatwa di negara ini sama ada di peringkat Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun Fatwa Negeri.

“Masyarakat hendaklah memahami bahawa keputusan fatwa dibuat berdasarkan kaedah tertentu di samping mempertimbangkan kepentingan awam dan situasi sekeliling.

“Di Pulau Pinang khususnya, sesuatu fatwa yang hendak diwartakan dikemukakan terlebih dahulu ke dalam mesyuarat EXCO hanya untuk dimaklumkan, bukan untuk dibahaskan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Pas  bahawa kerajaan Pulau Pinang mencampuri proses penfatwaan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Yang di-Pertuan Agong.

Semalam Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof dipetik berkata, kerajaan DAP-PKR mengarahkan semua fatwa perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) terlebih dahulu sebelum diluluskan sebagai fatwa.

Dr Wan Salim berkata, setakat ini belum pernah pihak exco atau Kerajaan Negeri menghalang pewartaan fatwa.

“Apabila mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri memutuskan untuk mewartakan sesuatu fatwa, ia dikemukakan terlebih dahulu di dalam mesyuarat exco oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kemudian dihantar ke pejabat Penasihat Undang-undang Negeri untuk diperbaiki serta dihalusi susunan bahasanya. Kemudian dihantar ke Istana Negara menerusi pejabat SUK untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

“Setelah diperkenankan oleh Baginda maka pejabat SUK sekali lagi menghantarkannya ke pejabat Penasihat Undang-undang negeri untuk tujuan pewartaan,” terangnya.

Justeru Dr Wan Salim berharap penjelasannya itu dapat menghilangkan kekeliruan masyarakat berhubung proses pewartaan fatwa dan tiada lagi dijadikan sebagai bahan polemik oleh mana-mana pihak.

TAGS