Fatwa muktamad, ahli politik tidak campur tangan, tegas Mufti

Fatwa muktamad, ahli politik tidak campur tangan, tegas Mufti

Fatwa yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang adalah muktamad dan tidak boleh dicampuri ahli politik, tegas Mufti Kerajaan Negeri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Malah beliau menjelaskan, tiada bantahan direkodkan terhadap fatwa kalimah Allah oleh individu atau kumpulan tertentu yang melarang penggunaan 40 kalimah Islam oleh orang bukan Islam pada 2010.

Sebelum ini, anggota majlis fatwa negeri Dato’ Md Saleh Ahmad mendakwa wujud campur tangan dalam urusan fatwa di Pulau Pinang.

Menurut Md Saleh, exco agama kerajaan negeri mahu fatwa kalimah Allah yang telah digazet dibincangkan semula agar ianya selari dengan pendirian kerajaan negeri.

Malah beliau mendakwa beberapa fatwa telah ditangguhkan oleh exco agama terbabit daripada dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.

Wan Salim, yang juga pengerusi Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang berkata, Pulau Pinang mematuhi keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengenai fatwa kalimah Allah pada 2008.

Hasilnya, fatwa yang khusus bagi Pulau Pinang mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong pada 11 Mac 2010.

Wan Salim juga menafikan dakwaan mengenai beberapa fatwa “ditangguhkan”.

TAGS