Malaysia Dateline

Fatwa ‘wajib’: Wajar diadakan dialog elak kekeliruan, kata Raja Kamarul Bahrin

Pengerusi AMANAH Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah bersetuju dialog berhubung isu ‘fatwa’ bersama pihak terlibat diadakan supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, hujah yang kuat berlandaskan hadis atau sebagainya perlu disertakan jika mahu menjatuhkan hukum ‘wajib’ terhadap individu, kumpulan atau sesuatu keadaan.

“Menjatuhkan hukum wajib ini saya rasa amat berat. Kalau nak keluarkan kenyataan sedemikian rupa, mesti ada hujah yang kuat.

“Setiap perkara yang tak setuju, pihak lawan tak boleh lah minta patuh dengan menjatuhkan hukum wajib.

“Jadi, pada pendapat saya, memang bagus dialog itu diadakan kerana ia boleh berfungsi sebagai platform untuk masyarakat faham adakah kenyataan itu patut dikeluarkan oleh pihak sebelah sana (pembangkang).

“Pada saya, penjelasan amat diperlukan supaya tidak timbul kekeliruan,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline, di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Malaysia Dateline melaporkan, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) membuka ruang kepada Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh untuk berdialog berhubung isu ‘fatwa’ dalam slot rancangan Analisis TV Hijrah pada minggu ini, secara langsung.

Setiausaha Politik kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Abang Ahmad Kerdee Abang Magasus berkata, beliau tertarik dengan kesudian Nik Muhammad Zawawi selaku Ketua Dewan Ulama Pas yang baharu untuk berdialog dengan sesiapa sahaja tentang isu kenyataan beliau ’Wajib menjatuhkan Pakatan Harapan dalam PRU-15’.

“Suka saya maklumkan, bahawa bagi mewakili PH, Ustaz Zolkharnain Abidin Al-Hafiz selaku Pengarah Syariah AMANAH yang jawatannya setara jika dibandingkan dari sudut hierarki parti dengan Ketua Dewan Ulama akan menjadi regu kepada Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi dalam dialog itu nanti,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.