Malaysia Dateline

FB Dewan Ulama Pas diserbu bila kata Ketua Polis Negara fitnah menteri

Selepas laman Facebook Universiti Utara Malaysia (UUM), orang ramai menyerbu laman milik Dewan Ulama Pas pula apabila mereka tidak berpuashati dengan tindakan Ulama Pas menyerang Ketua Polis Negara yang akan bersara Tan Sri Hamid Bador.

Ia menyebabkan posting yang dibuat oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Mohd Nor Hamzah ini paling popular dari banyak-banyak kenyataan yang dibuat oleh Ulama Pas tetapi populariti dengan sebab yang silap.

Sebelum ini, laman FB UUM terpaksa ditutup apabila orang ramai menyerang mereka kerana terus mempertahankan seorang pensyarah mereka.

Bagi pengkritik Ulama Pas, selepas duduk dalam kerajaan, Pas sudah berubah 180 darjah, dari bersama mempertahankan ‘whistle blower’ yang mendedahkan gejala rasuah dan salah guna kuasa kepada mempertahankan pihak berkenaan.

Serangan ini dibuat terhadap kenyataan media yang dibuat oleh Mohd Nor yang membuat kenyataan mengkritik Hamid Bador apabila beliau mendedahkan tentang salah guna kuasa dan rasuah dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“DUPP juga mengkritik ucapan Tuan Hamid Bador, KPN sekarang ini ekoran kenyataan terbuka beliau dalam satu sidang berkenaan maklumat yang beliau perolehi dengan mendakwa terdapat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang membabitkan rasuah kalangan ahli politik tertentu secara terbuka di hadapan para wartawan.

“Tidak wajar individu seperti beliau iaitu orang yang tahu prosedur undang-undang dan menjaga keadilan negara, tidak menggunakan saluran yang ada namun hanya beremosi dalam ucapan sehingga mengundang sangkaan berunsurkan fitnah dan dakyah terhadap politik semasa dengan timbulnya persepsi jahat kepada kerajaan PN sekarang ini kerana sikap yang beliau tunjukkan adalah mengenepikan nilai undang-undang,” kata Mohd Nor, Adun Bukit Payung, Terengganu itu dalam kenyataannya yang disiarkan dalam Facebook Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP).

Ekoran itu, selepas 16 jam ia disiarkan, lebih 3,700 komen dibuat terhadap kenyataan ini manakala 884 perkongsian dibuat terhadap tulisan yang sangat tidak disenangi ini. Hampir kesemua komen yang dibuat menyerang Pas dan kerajaan PN.

Mohd Sanawi Mohd Sanusi menyifatkan kerajaan ini umpama kerajaan syaitan apabila menulis, “Allahu… semakin hebat menjilat sejak dapat kuasĂ  secara tebuk atap. Inikah yang dikatakan kerajaan setang?”

Muhammad Khairi Kamaruddin pula membandingkan sikap Pas sebelum ini sebagaimana direkodkan oleh akhbar rasminya Harakah, “Bukak Dan selak lembaran harakah dulu2, ketika Pas mempertahankan whistle blower…Hari ni, segalanya berubah…rakyat menilai.”

Nik Lee pula menyamakan Dewan Ulama Pas sudah menjadi Dewan Ulama Cowboy apabila menulis, “Dewan Ulama Cowboy.. dakwaan KPN adalah serius dan menunjukkan campurtangan menteri dalam urusan penguatkuasaan.”

Ismail Ali pula kesal kerana Dewan Ulama Pas sudah menjadi tukang cuci kebobrokan yang telah dibuat oleh kerajaan PN.

“Tak dengar keseluruhan ya statement yang beliau buat ke? Jangan dengar tebuk sana dan tebuk sini…

“Dan Dewan Ulama Pas jangan pula jadi tukang “cuci” kebrobrokan yang telah dibuat oleh Hamzah dan kuncu2 nya selama ini dalam kuasa KDN tu. Nanti rakyat hilang hormat kat Dewan Ulama tu.”

Mohd Zulkhairi Ab Aziz pula menyindir kenyataan Mohd Nor ini apabila menulis, “Terbaik kenyataan dari Dewan Ulamak sebuah parti dalam kerajaan tebuk atap yang berintegriti, tahniah!”

Shahrun Ishak pula menyifatkan kenyataan ini sangat memalukan kerana ia datang dari Dewan Ulama Pas, “Perlukah statement ni dikeluarkan oleh dewan ulamak Pas? Memalukan. Sepatutnya sokong supaya siasatan dan tindakan lanjut diambil atas dakwaan bekas KPN. Pas dah jauh menyimpang kerana mabuk kuasa.”