Malaysia Dateline

FB Istana Negara jadi tumpuan, rakyat rayu Agong kembalikan demokrasi berparlimen

Laman Facebook rasmi Istana Negara yang memuatnaik hantaran berkenaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilihat kini menjadi tumpuan rakyat.

Rata-rata reaksi yang membanjiri ruangan komentar dalam hantaran itu merayu agar persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin supaya semua tindakan kerajaan untuk membendung penularan Covid-19 dapat dibahaskan.

Rayuan rakyat kepada Seri Paduka Baginda itu juga bagi memastikan pelbagai masalah rakyat terutama sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dapat disuarakan.

“Daulat Tuanku. Buka Parlimen, tamatkan Darurat, Abah (Muhyiddin) letak jawatan. Sekian dari patik,” kata Abrar Sadiq.

Hal sama turut dibangkitkan Mohd Fazli yang menulis, “mohon buka semula Parlimen Tuanku. Rakyat nak tahu sejauh mana kewangan negara dibelanjakan.”

Tidak kurang juga yang merayu agar kerajaan menyambung kembali kemudahan i-Sinar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.

“Harap i-Sinar KWSP 2.0 diberikan kepada rakyat. Rakyat sudah tiada duit. Nak keluarkan simpanan sendiri Tuanku. Terima kasih Tuanku,” rayu Kayel Singh.

Selain itu, orang ramai turut menggesa moratorium pinjaman automatik tanpa syarat dan faedah atau caj tambahan diberikan sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Rata-rata berpendapat moratorium perlu diberi kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan keluarga berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40).

“Daulat Tuanku. Moratorium tak sambung. Bulan-bulan kena bayar (pinjaman). i-Sinar 2.0 tak sambung.

“Lockdown tapi macam lookaround. Sudahnya rantaian (jangkitan) masih ada termasuk suri rumah pun boleh kena jangkitan apabila suami yang kerja balik (rumah) bawa virus.

“Maka ramai rakyat yang akan sangkut untuk bayar hutang bank. Tak semua dapat BPR. Itu sebablah mahu i-Sinar 2.0. Mohon Tuanku tegas sikit pada barisan menteri yang ada,” luah Eddie Rizqi.