FDI China dialu-alukan, kata Azmin

FDI China dialu-alukan, kata Azmin

Malaysia mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) dari mana-mana negara, termasuk China, kerana ia memberi manfaat kepada negara melalui modal, teknologi, penciptaan nilai, pekerjaan dan pemindahan kemahiran, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata kerajaan akan terus terbuka untuk menerima sebarang FDI termasuk dari China, namun ia perlu mematuhi dan menghormati dasar yang telah ditetapkan dan mesti mewujudkan nilai serta peluang kepada penduduk tempatan.

“Kami mahu memastikan pelabur-pelabur asing akan menggunakan Malaysia sebagai destinasi akhir mereka untuk melaburkan modal dan pelaburan, dan ini pastinya akan mendorong pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Bersama ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Asia Tenggara’ oleh CIMB Asean Research Institute dan Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Diplomasi dan Strategi (IDEAS) LSE serta Siri Perbincangan Panel Meja Bulat Asean hari ini.

Azmin berkata Malaysia akan mendapat banyak keuntungan daripada BRI yang akan membantu merapatkan jurang infrastruktur dan kesalinghubungan antara Malaysia dan negara-negara Asean.

“Saya bersetuju dengan tanggapan dalam laporan bahawa BRI tidak seharusnya menjadi satu kemenangan untuk satu negara, tetapi sebaliknya berjaya untuk semua, sama seperti bagaimana Presiden Xi (Jinping) telah memanggil projek BRI sebagai ‘jalan untuk perdamaian’,” katanya.

Beliau berkata sehingga Ogos 2018, import dari China ke Malaysia mencecah RM116.9 bilion, antara yang tertinggi di kalangan negara-negara perdagangan, manakala eksport ke China berjumlah RM89.3 bilion, juga yang tertinggi di kalangan negara-negara lain.-Bernama.