Fed AS senarai hitam bekas pekerja Goldman Sachs daripada industri perbankan

Fed AS senarai hitam bekas pekerja Goldman Sachs daripada industri perbankan

Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengumumkan pada Selasa dua bekas pekerja bank pelaburan terkenal Goldman Sachs Group, Inc., disenarai hitamkan daripada industri perbankan, lapor agensi berita Xinhua.

“Tim Leissner dan Ng Chong Hwa juga dikenali Roger Ng, disenarai hitam kerana  terbabit dalam skim haram membabitkan berbilion dolar dari dana kekayaan berdaulat Malaysia,” menurut Fed.

Leissner dan Ng diambil bekerja oleh anak syarikat asing Goldman Sachs. Pada 2012 dan 2013, mereka menyelaraskan tawaran bon diatur Goldman yang dikenali 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Ogos tahun lepas, Leissner mengaku bersalah atas dakwaan itu, termasuk berkomplot melanggar Akta Amalan Rasuah Asing dan melakukan pengubahan wang haram. Ng pula didakwa atas tuduhan sama pada Oktober 2018.

Leissner akur dengan larangan yang dikenakan oleh bank pusat itu selain didenda US$1.42 juta.

Goldman Sachs Group, Inc., adalah bank pelaburan dan penyedia perkhidmatan kewangan terkenal.

Beribu pejabat di bandar raya New York, gergasi perbankan itu menduduki tempat ke-70 dalam senarai Fortune 500 pada 2018.

— BERNAMA