Malaysia Dateline

Felcra minta kerajaan tangguh perdagangan dengan EU

Pengeluar- pengeluar minyak sawit Malaysia meminta kerajaan supaya menangguhkan semua urusan perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) bagi memberi tekanan kepada negara-negara Eropah yang cuba mengharamkan penggunaan minyak sawit dalam bahan api bio mereka.

Pengerusi Felcra, Datuk Nageeb Wahab berkata, Malaysia sentiasa mengamalkan sikap berdiplomasi ketika mengendalikan isu tersebut namun merasakan sudah tiba masanya kerajaan berkeras dalam menyokong industri minyak sawit yang merupakan antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Mereka (EU) meletakkan pelbagai syarat sebelum membenarkan minyak sawit kita dieksport ke negara mereka selama ini dan kita tidak pernah engkar kepada peraturan-peraturan tersebut.

“Selepas banyak sumber wang dan masa dihabiskan untuk melakukan kajian dan menepati piawaian yang ditetapkan kini mereka cuba mewujudkan akta melarang penggunaan minyak sawit untuk bahan api bio mereka pula.

“Kami bimbang apa pula akan berlaku nanti? Sekarang bahan api bio, kami risau selepas ini minyak sawit untuk bahan makanan pula diharamkan,” katanya semasa sidang media hari ini seperti dipetik MG.

Tambah Nageeb, kini satu-satunya cara untuk mengendalikan isu tersebut adalah menerusi pendekatan politik dan ekonomi.

Katanya, pendekatan tersebut turut digunakan oleh Indonesia selaku pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia.

Felcra bersama tiga lagi organisasi yang mewakili pekebun-pekebun kecil kelapa sawit seperti Felda, Risda dan Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia berganding tenaga merangka satu memorandum kepada pesuruhjaya EU bagi memperjuangkan nasib kira-kira 65,000 pekebun kecil sawit di Malaysia.

Memorandum itu bakal diserahkan tidak lama lagi, kata Nageeb.

Jelasnya, usaha keempat-empat organisasi itu diberi sokongan penuh oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala Menteri Industri Utama, Teresa Kok pula maklum mengenai perkembangan tersebut