Felda anjur sesi pandangan peneroka, kata Mohd Radzi

Felda anjur sesi pandangan peneroka, kata Mohd Radzi

Pengurusan Felda akan mengadakan sesi ‘pertemuan’ dengan peneroka dalam masa terdekat, bagi mendengar pandangan mereka berhubung hala tuju baharu agensi itu susulan pembentangan kertas putih Felda.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata sesi itu juga akan turut mengumpul maklum balas golongan peneroka berhubung kertas putih Felda itu.

Mohd Radzi Jidin

“Proses engagement bersama peneroka merupakan satu proses utama dalam usaha membentuk semula Felda,” katanya kepada Bernama.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan kertas putih “Ke Arah Kelestarian Felda” di Dewan Rakyat minggu lepas mengumumkan peruntukan RM6.23 bilion kepada Felda secara berperingkat dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan, mengikut keperluan untuk kelestarian masa depan agensi rancangan pembangunan tanah itu.

Mohd Radzi berkata pengurusan Felda akan turut berkongsi idea dengan peneroka, mengenai cadangan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi supaya peneroka menyewakan ladang mereka kepada Felda untuk digabungkan dan diusahakan dalam skala besar.

Katanya, jika ladang seluas 10 ekar milik seorang peneroka digabungkan dengan ladang milik peneroka lain diusahakan secara besar-besaran, ia akan mewujudkan sinergi.

“80 peratus peneroka Felda kini berumur 60 tahun ke atas. Dari membiarkan ladang mereka tidak diusahakan pada tahap optimum, lebih baik ia diserahkan kepada Felda, untuk diusahakan sebagai satu ladang yang besar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya cadangan membangunkan ladang peneroka secara skala besar bergantung kepada persetujuan para peneroka.