Felda: Bila beli Ferrari pakai duit rakyat, rakyat yang rugi

Felda: Bila beli Ferrari pakai duit rakyat, rakyat yang rugi

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menempelak Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad kerana memperlekehkan skandal kewangan Felda Global Venture (FGV) apabila menyamakan penjualan hotel di London seumpama sebuah kereta Ferrari yang boleh dijual.

Sedangkan menurut Rafizi, pada Februari lalu media melaporkan Shahrir pernah mempersoalkan kehilangan sejumlah RM4.3 bilion wang Felda.

“Tan Sri Shahrir sendiri yang mencari ke mana hilang RM4.3 bilion wang Felda hasil dari menjual hartanya di pasaran saham melalui penyenaraian FGV.

“Sedangkan wang Felda yang telah dibelanjakan dan tidak diterjemahkan kepada keuntungan kepada peneroka dan kerajaan bukannya RM4.3 bilion tetapi RM11.4 bilion,” ujarnya dalam kenyataan hari ini yang diadakan di Ibu Pejabat Invoke.

Justeru katanya, apabila Shahrir mengumpamakan penjualan aset seperti hotel di London seumpama menjual Ferrari yang jarang dipakai, Shahrir, ujarnya lagi, seolah-olah lupa bahawa Ferrari yang dibeli itu mengunakan wang rakyat.

“Apatah lagi dalam keadaan wang itu adalah sebahagian daripada durian runtuh hasil daripada keringat peneroka dan pengurusan terdahulu yang dibelanjakan secara besar-besaran oleh kepimpinan Felda Datuk Seri Najib sejak 2010 sehingga meningkar sekitar RM11.4 bilion.

“Tan Sri Shahrir juga menyebut penjualan hotel itu hanya menjatuhkan air muka sahaja tetapi tidak merugikan Felda adalah tidak tepat.

“Hakikatnya hotel itu belum lagi dijual dan telah berada di pasaran sejak Julai 2017 lagi dan semakan saya menunjukka sehingga kini belum ada pembeli,” ujarnya.

Justeru kata Rafizi lagi perumpaan yang lebih tepat ialah Ferrari yang dibeli pada ketika Felda kaya pada satu ketika dahuku kini ditarik balik pada masa baki pinjaman kereta belum lagi langsai.

“Apabila dicampur dengan belanja minyak, tukar tayar dan servis yang cukup mahal beberapa tahun lalu apabila Ferrari itu ditarik kerugian semakin besar,” ujarnya.

Menurut Rafizi lagi, melalui Invoke beliau akan mendedahkan lagi akan pembiayaan untuk membayar insentif peneroka Felda yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini ujarnya, semakin menjerut Felda yang seolah-olah Felda sedang melelong harta untuk mencari wang membayar hutang dan menyogok peneroka Felda demi satu undi dalam PRU14, katanya.