Felda: Pas jangka pertembungan Shahrir dan Isa

Felda: Pas jangka pertembungan Shahrir dan Isa

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, punca masalah Felda hari ini kebanyakannya datang daripada FGV dan pengurusan Isa justeru mengekalkan Isa di FGV akan menyebabkan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sukar melaksanakan langkah-langkah memulihkan Felda.

Shahrir yang juga ahli Parlimen Johor Bahru dilantik sebagai pengerusi baharu Felda menggantikan Isa yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.

“Adakah Shahrir mampu melaksanakan agenda pemulihan Felda yang melibatkan pembatalan keputusan-keputusan yang dibuat Isa sebelum ini terutamanya urusan yang melibatkan FGV tanpa sebarang gangguan daripada Isa?

“Bagaimana pula dengan pembelian Eagle High Plantation? Adakah Shahrir dapat melakukan apa yang betul untuk menyemak semula pembelian ini yang turut dikritik adik PM, Datuk Nazir Razak sendiri tanpa perlu bertembung dengan Isa?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga berkata, isu pembelian EHP akan memberi petanda yang jelas sama ada Shahrir bebas mentadbir Felda ataupun penyusunan ini hanya wayang untuk mengalihkan kemarahan para peneroka daripada Isa.

Menurut beliau juga, Pas menjangkakan Shahrir dan Isa bakal bertembung, dan ini akan satu persaingan politik yang tidak perlu di dalam Felda yang bakal merugikan Felda dan khasnya peneroka.

Justeru katanya sepatutnya Isa perlu dibuang terus daripada Felda.

Beliau menambah, penyusunan Felda boleh dijadikan cermin kepada Najib.

“Sekiranya betul PM dapat memahami pentingnya “pembahagian tanggungjawab”, diharap beliau dapat melepaskan jawatan Menteri Kewangan dengan kadar segera.

Pembahagian tanggungjawab antara PM dan Menteri Kewangan adalah sangat penting dalam mewujudkan sistem semak dan imbang di antara apa yang cuba dilakukan PM dengan kemampunan dan kepentingan kewangan negara,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)