Malaysia Dateline

Lim Kit Siang

Felda, PTPTN dan KR1M lebih perlukan dana berbanding Amerika

Lebih baik dana berbilion ringgit yang mahu dibelanjakan Perdana Menteri untuk ‘mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat’ digunakan bagi keperluan dalam negara yang lebih mendesak, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Kit Siang menasihati Datuk Seri Najib Razak supaya menggunakan dana berjumlah RM60 bilion itu untuk mengukuhkan ekonomi negara dan bukan untuk memangkin ekonomi negara maju dan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat.

“Bermacam-macam cara boleh dilakukan untuk membantu rakyat Malaysia dengan dana sebesar itu.

“Sebagai contoh membantu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang terpaksa ditutup sementara, membantu 100,000 peneroka Felda yang menghadapi krisis ekonomi atau 700,000 graduan yang gagal membayar hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara),” ujarnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin seperti dilaporkan media semalam memaklumkan bahawa KR1M akan ditutup untuk sementara waktu bagi tujuan penambahbaikan.

Bagaimanapun ini bertentangan dengan kenyataan syarikat pengendali KR1M di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSI), Mydin Mohamed Holdings yang mendakwa mengalami kerugian yang besar.

KR1M yang ditubuhkan dan dirasmikan pada Jun 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat, selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

Sementara itu, Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) turut mengalami kerugian mencecah RM10 bilion selain harga saham yang kian menurun – kerugian yang secara tidak langsung turut memberi kesan terhadap pendapatan peneroka.

“Tidak syak lagi, terdapat keperluan yang mendesak bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan ekoran penutupan KR1M di seluruh negara, malah ribuan peneroka serta graduan yang gagal membayar semula hutang PTPTN memerlukan perhatian yang serupa.

“Sudah tiba untuk Najib bangkit dan menyedari bahawa realitinya kerajaan Malaysia dan ekonominya malahan dirinya tidak mampu untuk mengukuhkan ekonomi AS, adalah menjadi tugasnya sebagai Perdana Menteri untuk mengukuh ekonomi negaranya sendiri,” tambahnya.