Malaysia Dateline

Felda perlu telus dedah laporan kewangan 2015-2016 milikan aset tanah, bangunan Jalan Semarak

Felda perlu memperjelaskan kedudukan sebenar laporan kewangannya pada tahun 2015 dan 2016 sama ada laporan kewangan tahun tersebut, masih lagi mengandungi laporan milikan aset tanah dan bangunan Felda Jalan Semarak yang sudah kehilangan pemilikan dari Ffelda selepas dijual kepada syarikat pemaju projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) sejak tahun 2014 lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena,berkata,  jika perkara itu tidak dinyatakan dengan jelas dalam laporan kewangan tahun tersebut dakwanya, laporan itu tidak di audit secara telus sehingga menyembunyi kehilangan aset dan wang RM270 juta bagi kawasan berkeluasan 6.57 hektar di Jalan Semarak secara penipuan.

MahfuzOmar
Mahfuz Omar

“Kenapa PM Najib dan Tan Sri Shahril atas nama ‘kerajaan dan Felda’ mengambil masa begitu lama untuk membuat laporan polis sehingga hampir setahun, selepas menyedari kehilangan hak milik tanah Jalan Semarak pada bulan Januari 2017 sedangkan PM Najib telah pun dimaklumkan pada Februari 2017.

“Laporan polis hanya dibuat pada 12 Disember 2017 dengan menamakan syarikat yang memegang surat kuasa wakil penuh ke atas tanah-tanah itu, namun nama bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad¬† tidak disebut dan apa sebenarnya yang mahu disembunyikan dari pengetahuan umum.

“Tan Sri Shahrir dalam kenyataan beliau berkata kerajaan dan Felda cuba berusaha dalam tempoh itu untuk mengembalikan tanah tersebut dengan melakukan kaveat di pejabat tanah Wilayah Persekutuan.

“Kenyataan beliau itu seolah-olahnya kalau dapat semula tanah tersebut maka akan ditutup penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam penjualan tanah Felda tanpa bayaran sekupang pun kepada Felda,” soalnya dalam kenyataan.

Kata Mahfuz lagi, rakyat sedang menanti bagaimana penghujung kisah tanah Felda Jalan Semarak dan apa yang pasti tanah tersebut bukan lagi milik Felda.

“Siapa sebenarnya yang cuba *melindungi skandal penyelewengan ‘lelongan’ tanah Felda dan apa yang mahu disembunyikan untuk pengetahuan rakyat,” ujarnya.

Skandal kehilangan tanah Felda di Jalan Semarak dikatakan bermula pada tahun 2014 tetapi ianya disedari oleh Felda pada Jan 2017 seperti yang dinyatakan oleh Shahrir dalam sidang medianya.

Beliau menegaskan sebaik sahaja mengambil alih jawatan Pengerusi Felda daripada Tan Sri Isa Samad beliau telah dimaklumkan Felda telah kehilangan hak terhadap tanah itu yang terletak di kawasan strategik Jalan Semarak susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan melalui penjualan tanpa satu sen pun pembayaran yang diterima Felda.

Tanah tersebut telah berpindah milik kepada syarikat pemaju utama projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di atas tanah tersebut .

Synergy Prominade Sdn Bhd selaku pemaju yang memperolehi surat kuasa wakil secara penuh (Full Power of Attorney) dari Felda telah memindah hak milik kepada syarikatnya pada tahun 2014.