Fenomena air pasang besar akan berlaku setiap bulan

Oleh MALAYSIADATELINE

Fenomena air pasang besar yang melanda kawasan pantai Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam akan berterusan pada minggu ketiga setiap bulan.

Kejadian ini mengulangi fenomena kejadian air pasang besar yang diluar kebiasaan pada 2006 iaitu 10 tahun yang lalu.

Keadaan ini akan berlanjutan pada tahun ini air laut dijangkakan mencecah sehingga 5.7m yang berpunca dari air pasang besar yang melimpahi ban sediada dan terdapat juga kawasan ban yang telah rebak disebabkan arus yang deras.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, Pusat Hidrografi Nasional paras air pasang di perlabuhan Klang hari ini (21 September) mencecah 5.2meter.

“Keadaan banjir akan menjadi lebih buruk jika kejadian hujan lebat, walau bagaimanapun sehingga kini tiada amaran hujan lebat dikeluarkan oleh jabatan meteologi.

“Penduduk di penempatan berhampiran diminta berjaga-jaga akan kemungkinan berlakunya banjir dan sentiasa peka dengan maklumat terkini serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke masa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Pihak kerajaan negeri juga telah mengambil langkah segera memperbaiki semua ban-ban yang telah rosak akibat fenomena air pasang besar ini.

Kenyataan juga menyebut hasil dari tinjauan semalam (20/09/2016) bagi daerah Sabak Bernam, ban yang telah rosak dan putus di dua tempat di Sg. Air Tawar telah berjaya diperbaiki oleh JPS Selangor dan tiada lagi kemasukkan air laut, ini memungkinkan 15 keluarga dari PPRT Sg. Air Tawar dibenarkan pulang dari pusat pemindahan banjir.

Manakala kerosakkan ban di Kg. Sg. Lang dan Kg. Sg. Apong dalam proses pembaikian segera.

Projek menaiktaraf ban di Sg Lang (Melebar dan meninggikan ban) sepanjang 730m dijangka bermula kerja ditapak pada Oktober 2016 setelah tender ditutup pada bulan ini dengan anggaran nilai keseluruhan kontrak RM3.5 juta termasuk kajian dan rekabentuk.