Malaysia Dateline

Fenomena kedai pajak gadai bukti gagalnya agihan adil kemakmuran ekonomi

Apa makna deretan panjang orang beratur di kedai pajak gadai selepas PKP dilonggarkan? Saya sebenarnya terkejut melihat gambar-gambar itu.

Ingatkan pajak gadai ini hanya cerita lama orang-orang tua kita zaman dahulu. Pajak gadai mengingatkan kita sistem ceti yang menindas.

Tidak pasti berapa peratus bunga atau riba yang dikenakan, selain sistem yang menekan. Rupa-rupanya tidak; ia masih segar dan tetap menjadi pilihan pada zaman kini. Pilihan kerana terpaksa.

Sama ada mereka mahu menebus barang kemas yang akan tamat tempoh gadaian atau mahu membuat gadaian baru. Kedua-duanya menyerlahkan situasi ekonomi rakyat yang cukup parah, bukan sahaja membabitkan golongan B40 tetapi khabarnya juga M40.

Masih ramai yang merempat, termasuk di kota dan bandar. Mesej jelasnya, ada sesuatu yang serius dan tidak kena tentang pengurusan ekonomi negara kita sejak sekian lama.

Statistik ekonomi yang nampak bagus tidak membawa makna kepada kesejahteraan hidup rakyat. Maka, tidaklah mengejutkan apabila ada kajian mendedahkan begitu ramai rakyat kita yang tidak mempunyai simpanan memadai, walaupun hanya untuk sebulan.

Justeru, apabila ada kes-kes darurat yang mengejut, seperti kes penyakit berjangkit Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, yang menyebabkan pendapatan bulanan atau harian terjejas teruk, maka kita menyaksikan kebobrokan yang cukup hodoh, dalam masyarakat, yang selama ini terselindung, terserlah kebusukannya dengan nyata. Jurang hudup kaya-miskin tambah melebar. Fenomena pajak gadai hanya salah satu daripadanya.

Lebih menyedihkan di kala pasukan perubatan, pihak keselamatan dan semua agensi terbabit bertungkus-lumus serta bertarung nyawa menangani pandemik koronavirus, pecah berita ada kes rasuah di Kementerian Kesihatan.

Covid-19 yang digeruni itu rupa-rupanya juga menjadi lubuk untuk golongan rakus merebut habuan yang keji. Agenda pembaharuan yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu — Pakatan Harapan — termasuk memerangi korupsi kini terhenti begitu sahaja.

Ada petanda jelas budaya rejim lampau BN sudah muncul semula di bawah kerajaan pintu belakang tanpa mandat rakyat, tanpa manifesto ini. Baru dua bulan kudeta, elemen salahguna kuasa seolah-olah sudah sedaging dengan pentadbiran.

Mereka hanya sibuk dan ghairah mengagihkan harta rampasan. Mereka mula bercakaran tidak puas hati susulan agihan sumber yang tidak adil, dan membiarkan rakyat termangu-mangu dibelit krisis serta petaka yang dahsyat ini.

Sebuah kedai pajak gadai di Klang turut jadi tumpuan pada hari pertama PKPB semalam.