Fenomena Monsun Timur Laut di Sarawak bermula November ini

Fenomena Monsun Timur  Laut di Sarawak  bermula November ini

Fenomena Monsun Timur Laut dijangka membawa kapasiti jumlah hujan yang tinggi akan berlaku di Sarawak bermula November ini sehingga Mac tahun depan.

Menurut kenyataan media, berdasarkan ramalan cuaca,Bahagian Bintulu dan Miri di Utara Sarawak bakal menerima jumlah hujan antara 300 millimeter hingga 500mm pada November dan Disember.

Bahagian Sri Aman, Sarikei, Mukah dan Sibu pula dijangka menerima jumlah hujan di antara 400mm hingga 550mm pada Disember dan Januari.

Manakala pada Januari dan Februari, Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian dijangka menerima jumlah hujan yang tinggi antara 400mm hingga 800mm.

Kata kenyataan itu, negara kini mengalami peralihan monsun dan akan dijangka berlaku sehingga pertengahan November.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak kini bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut dengan kekuatan seramai 14,970 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi di negeri ini.

“Antara agensi terlibat ialah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak,” jelas kenyataan itu di Kuching hari ini.

Katanya, dari segi logistik pula, sebanyak tiga helikopter, lima dron, 211 lori, 500 kenderaan pacuan empat roda, 291 bot dan 111 ambulans disediakan.

Sementara itu, 622 pusat pemindahan yang dapat menempatkan seramai 195,825 orang disediakan di seluruh bahagian negeri ini.

“Semasa fasa ini, kejadian hujan lebat dan ribut petir setempat dalam jangka masa singkat serta angin kencang lebih kerap berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di Sarawak terutamanya di Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu,” ujarnya.