Malaysia Dateline

Festival K-pop Jeddah sulung ketika umat Islam mengerjakan ibadat haji

Festival K-pop sulung di Jeddah selama tiga hari berturut-turut berakhir kelmarin ketika umat Islam sedang menunaikan ibadat haji.

Sebanyak tujuh kumpulan K-pop membuat persembahan di Jeddah Superdome sebagai penutup pesta hiburan mega, Festival Jeddah Season 2022 selama 60 hari yang bermula sejak 2 Mei iaitu hari pertama Aidilfitri 1443 H.

Lapor Arab News, festival K-pop pertama Arab Saudi, Saranghae KSA 22 itu turut memberi peluang kepada pengunjung merasa masakan Korea.

Pengunjung termasuk remaja bawah usia 18 tahun dilapor turut gembira dengan konsert daripada deretan kumpulan dari Korea Selatan itu.

Seorang penonton, Ghazal Mazen, 16, berkata, dia membesar mendengar lagu Korea kerana kakaknya, dan menjadi peminat Ateez sejak awal 2020.

“Saya benar-benar tidak dapat menggambarkan perasaan saya sekarang. Rasanya seperti mimpi yang saya tunggu-tunggu untuk hidup dalam kehidupan sebenar,” dipetik Arab News.

Untuk rekod, Jeddah terletak 89 km di barat Tanah Suci Makkah manakala Madinah di timur laut Jeddah dengan jarak satu jam penerbangan.

Kelmarin, hari terakhir festival menyaksikan dua kumpulan iaitu Monsta X dan Verivery menguasai persembahan manakala hari pembukaan festival itu pada 30 Jun memperlihatkan kumpulan Epex dan Ateez meraikan penonton dalam bahasa Arab dan Korea.

Artis K-pop terbabit juga dilapor menikmati suasana perayaan Jeddah Season dengan melawat zon Jeddah Bersejarah, mengunjungi rumah hantu dan bermain pelbagai permainan.

Baru-baru ini pengkaji Dr Mat Rofa Ismail menasihatkan agar jemaah haji dari Malaysia tidak terkejut dengan keadaan bumi kelahiran utusan Allah yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW itu sekarang.

Beliau menegaskan keadaan di Arab Saudi terutama di Makkah dan Madinah semakin jauh berubah sejak Wawasan Saudi 2030 dilancarkan.

Perubahan demi perubahan dilakukan oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang didukung oleh Putera Mahkota Mohammed Salman Al-Saud.

“Kalau ke Madinah jangan terperanjat temui orang bukan Islam di luar kota Madinah. Tuan-tuan telah melihat kemajuan yang dicapai menerusi Visi 2030.

“Apakah pesta 60 hari di Jeddah tanpa henti itu?

“Pesta bunga api setiap malam, persembahan K-Pop, persembahan sarkas buat pertama kali di bumi Arab Saudi.

“Ada rumah hantu, konsert oleh artis Arab dan antarabangsa.

“Buat di Jeddah supaya jemaah haji dapat menyaksikan sebelum datang ke Makkah atau Madinah. Mereka dapat melihat pesta lebih awal. Itulah barangkali tujuannya.

“Makkah sekarang bukan Makkah yang lama. Kita sambut raya 2 Mei. Alhamdulillah. Mereka adakan pesta besar-besaran 2 Mei menyambut Hari Raya di Jeddah.

“Pakaian mereka ketika itu bukan pakai orang Islam. MasyaAllah. Tuan-tuan yang berangkat ke Makkah melalui Jeddah jangan terperanjat apabila melihat pesta yang sedang berlangsung di Jeddah sekarang ini,” pesannya dalam satu ceramah yang dikongsikan di YouTube.

Sejak bulan lalu, Arab Saudi menyambut ketibaan kumpulan jemaah haji dari luar selepas dua tahun ibadat dalam rukun Islam kelima itu tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Memetik laporan Agensi, seramai 344,881 jemaah daripada pelbagai negara tiba di Madinah menerusi laluan udara dan darat bagi mengerjakan haji bagi musim 1443H/2022 ini.

Statistik dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah menunjukkan 278,751 jemaah tiba menerusi pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammed bin Abdulaziz di Madinah manakala pusat imigresen menerima 49,806 jemaah di pintu masuk sempadan negara.

Jumlah itu merangkumi seramai 12,411 warga Bangladesh, diikuti Pakistan (8,229), India (6,595), Iran (6,433) dan Nigeria (6,320).

Baca juga Arab Saudi ‘disihir’ Visi 2030, pengkaji ini nasihat jemaah haji Malaysia jangan terkejut

Baca juga 2.4 juta kenderaan dijangka masuk Pantai Timur untuk Raya Haji