Malaysia Dateline

Festival Sungai Perai sedarkan masyarakat kepentingan pemuliharaan sungai

Festival Sungai Perai berpotensi untuk menjadi daya tarikan eko-pelancongan bagi Seberang Perai.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri & Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.

Malah katanya lagi, Sungai Perai mampu dibangunkan sebagai salah sebuah lagi pusat eko-pelancongan bukan saja bagi Seberang Perai, tetapi juga bagi Pulau Pinang.

“Dengan adanya program sedemikian, ia boleh memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keperluan sungai dan tanggungjawab yang harus ada bagi menjaga kepentingan sungai tersebut.

“Ketika ini sungai semakin terancam dengan pelbagai pencemaran dan juga pembangunan.

“Ia turut dikhuatiri akan memberi impak yang buruk apabila sumber air tawar dunia semakin berkurangan, ” tegasnya.

Beliau yang juga merupakan Adun Seberang Jaya juga berkata, masyarakat harus segera menyedari betapa pentingnya sungai untuk dipelihara agar ia senantiasa bersih tanpa sebarang pencemaran.

Tambahnya, melalui Program Butterworth Baharu, Pelan Tindakan Sungai Perai bagi tempoh lima tahun dengan kerjasama antara Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Think City Sdn Bhd telah pun diwujudkan.

“Antara pelan tindakan tersebut ialah bagi menaik taraf projek fizikal serta mengaktifkan Sungai Perai termasuk aktiviti memelihara dan pemuliharaan.

“Selain itu ia dapat memastikan bahawa sungai sepanjang 24 kilometer tersebut dapat dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin.

“Disamping itu visi dan misi kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bersih, hijau, selamat dan sihat dapat menjadi kenyataan, ” ujarnya.