Malaysia Dateline

Festival Teater Islam Dunia pertama di Riau

Teater “Jalan Tua” karya dan arahan Muhamad Ibrahim Ilyas (Bram) dari Padang, Indonesia, memberikan pengalaman menonton yang harmoni dan unik.

Ditubuhkan pada 9 Jun 2018 oleh sekumpulan aktivis teater Kuala Lumpur yang serba kekurangan, saya tidak menjangka sama sekali bahawa Festival Teater Islam Dunia (1) yang berlangsung selama lima hari di At Tabrani Islamic Center, Pekanbaru, Riau pada 13-17 Disember lalu adalah sebuah aktiviti anjuran kumpulan kecil ini, yang dikenali sebagai PTID – Pusat Teater Islam Dunia (atau nama yang diluluskan pendaftarannya di Malaysia: Pertubuhan Teater Islamik Dunia).

Terima kasih kepada kumpulan Ziarah Karyawan Nusantara (ZKN) pimpinan Yassin Salleh (yang mempunyai rangkaiannya di 14 daerah di Indonesia), kerana menyambut baik gagasan PTID dan para kerabatnya di Indonesia pun segera bersetuju dengan gagasan Islamik ini (melalui satu pertemuan di Ipoh pada 16 Julai 2018 dan satu pertemuan di Pekanbaru pada 26 Januari 2019).

Bahkan dalam pertemuan di Pekanbaru itu, yakni di ZK Panggung Toktan, pimpinan Panggung Toktan, Imam Aris Abeba dengan penuh yakin dan bersemangat mengumumkan bahawa kumpulannya Panggung Toktan bersedia untuk menganjurkan Festival Teater Islam yang pertama, bagi pihak PTID.

Dr Susiana Tabrani, pendiri Yayasan At Tabrani, penganjur bersama dan pembiaya tunggal Festival Teater Islam Dunia (1) selama 5 hari pada 13-17 Disember.

Itu bukan keputusan PTID tetapi keputusan ZK Panggung Toktan. Pimpinannya Aris Abeba sendiri bersedia untuk menganjurkan dan membiayai festival itu, yang bukanlah berskala besar tetapi pada skala yang munasabah untuk dinamakan Festival Teater Islam. Mungkin dua pementasan dari Malaysia dan tiga atau empat dari kerabat ZK Indonesia.

Dalam usaha dan persiapan mereka bagi merealisasikan festival itu maka pada 22-26 Ogos 2019 ZK Panggung Toktan sekali lagi menganjurkan pertemuan yang dinamakan Pra-Festival Teater Islam Dunia (Pra-FTID). Beberapa orang wakil dari PTID Malaysia hadir membincangkan persiapan berkenaan.

Sementara itu keadaan kesihatan Aris Abeba, tokoh yang memimpin usaha penganjuran festival ini, mengalami sedikit gangguan, yang dikhuatirinya boleh menjejaskan kerja-kerja persiapan berkenaan. Bagi mengatasi masalah ini pihak ZK Panggung Toktan yang mempunyai hubungan baik dengan pihak Universitas Abdurrab, mengambil inisiatif membincangkan kerjasama bagi menjayakan FTID.

Demikianlah bagaimana terbentuknya hubungan kerjasama PTID-ZK Panggung Toktan dengan Yayasan At Tabrani, iaitu induk kepada Universitas Abdurrab dan beberapa lagi institusi pendidikan dan perusahaan di bawah pimpinan Dr Susiana Binti Tabrani, pendiri yayasan dan institusi-institusi berkenaan.

Atas persefahaman Panggung Toktan dan pihak Yayasan At Tabrani, akhirnya pihak Yayasan At Tabrani bersetuju membiayai sepenuhnya perbelanjaan FTID, yakni makan-minum dan penginapan peserta (kira-kira 100 orang) serta kemudahan bagi 12 pementasan teater dan lain-lain pertunjukan muzik dan nyanyian, serta kemudahan untuk perbincangan atau diskusi.

Kompleks Susiana Convention Hall yang luas itu memang lengkap dengan segala kemudahan bertaraf antarabangsa. Alhamdulillah, kami mendapat kemudahan-kemudahan yang memuaskan bahkan di luar dugaan.

Sebagai Presiden PTID saya bukan sahaja bersyukur dan berterima kasih kepada Dr Susiana Tabrani dan juga Imam ZK Panggung Toktan, Aris Abeba dan Timbalannya (Buya) Dheni Kurnia, yang memungkinkan semua yang terjadi itu, tetapi saya juga diam-diam berasa bersalah kerana tidak dapat menyumbangkan sedikit dana seperti yang saya dan komrad Yassin Salleh mencuba mendapatkannya daripada pihak Kerajaan Malaysia.

Ada pihak yang berjanji akan memenuhi harapan itu tetapi akhirnya masih bermanis janji di mulut tetapi hakikatnya hanya kekecewaan, dan PTID gagal memberi sumbangan dana walaupun sedikit kepada penganjuran festival yang bersejarah dan sangat besar maknanya itu.

Sengaja saya menceritakan perjalanan proses terlaksananya Festival Teater Islam Dunia (1) ini, pertamanya untuk rekod bagi perjalanan seterusnya yang amat panjang lagi yang akan ditempuh oleh kami para aktivis teater Malaysia-Indonesia yang telah berjanji untuk menjulang syiar Islam melalui seni teater.

Kecuali satu atau dua atau tiga pementasan yang agak kurang memuaskan, selebihnya kira-kira tujuh lagi pementasan dari Malaysia dan Indonesia adalah karya-karya teater yang boleh dibanggakan sebagai bertaraf dunia, dan mampu menjulang nama dan syiar Islam di peringkat dunia.

Saya sepatutnya membincangkan pencapaian karya-karya teater yang dipersembahkan dalam festival lima hari itu, misalnya karya berjudul “Targhib” arahan Dr Rosdeen Suboh dari Universiti Malaya (Malaysia) yang saya anggap sebagai pementasan terbaik dalam FTID, dan “Jalan Tua” karya dan arahan Muhammad Ibrahim Ilyas (Bram) dari Padang (Indonesia) yang memberikan saya satu pengalaman menonton teater yang unik dan istimewa.

Unik dan istimewanya “Jalan Tua” ia tidak berkomunikasi melalui dialog tetapi melalui gerak tubuh, muzik, warna dan kata-kata yang minimum. Kombinasi seluruh unsur-unsur teater itu mengalirkan satu rasa harmoni yang indah ke dalam kesedaran atau rasa-fikir kita yang menonton, dan bagi saya peribadi saya tidak lagi merasa perlu berfikir mencari makna dan pesan dari persembahan itu. Cukup dengan menikmati apa yang tersaji di depan mata sahaja.

Berbeza dengan Targhib, kekuatannya adalah pada dialog. Bahkan saya perhatikan ke empat-empat teater dari Malaysia adalah teater dialog. (Selain Targhib ialah “Nur” karya Lena Farida Chin dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), “Menunggu Kata Dari Tuhan” arahan Dr Fara Dayana dan lakonan Dr Kipli, juga dari UPSI, dan saya sendiri membawa “Apa Lagi Yang Bapa Mahu?”).

Manakala kebanyakan teater dari Indonesia bukannya teater dialog, tetapi teater yang memberi perhatian lebih kepada unsur-unsur teater yang selain dialog – iaitu gerak tubuh, muzik, bunyi dan sebagainya.

Yassin Salleh, Presiden Ziarah Karyawan Nusantara bersama Aris Abeba, penyair dan Imam (Ketua) ZK Panggung Toktan Pekanbaru, Riau.