FGV harap dapat muktamadkan penjualan Trurich pada suku pertama 2020

FGV harap dapat muktamadkan penjualan Trurich pada suku pertama 2020

FGV Holdings Bhd berharap dapat memuktamadkan penjualan Trurich Resources Sdn Bhd pada suku pertama 2020, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Haris Fadzilah Hassan.

Beliau berkata proses pembidaan telah selesai dan ia dikendalikan oleh Maybank manakala proses rundingan antara bank dengan pembida tertinggi sedang dijalankan buat masa ini.

“Di peringkat ahli lembaga pengarah FGV, kami mencapai kata sepakat bahawa kami mahu meneruskannya. Jadi, perkara yang sama juga perlu dicapai di peringkat ahli lembaga pengarah Lembaga Tabung Haji (TH). Kami yakin penjualan ini secara rasminya akan diselesaikan,” katanya semasa sidang media mengenai prestasi kewangan FGV bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2019 di sini, hari ini.

Trurich, syarikat usaha sama 50:50 antara TH dan FGV, memiliki dan menguruskan 42,000 hektar ladang penanaman sawit di bahagian utara dan tengah Kalimantan.

FGV, menerusi anak syarikat milik penuhnya, FGV Kalimantan Sdn Bhd, membeli 50 peratus kepentingan dalam Trurich daripada TH pada 2010, dan setakat ini, jumlah kos pelaburan FGV dalam syarikat usaha sama itu mencecah RM255 juta dan bahagian kerugian terkumpul berjumlah RM234 juta.

Haris Fadzilah berkata Trurich bernilai RM1 bilion pada 2018, namun sejak itu, keadaan syarikat semakin merosot.

“Apabila wujud bidaan, kami lihat ada jurang antara harga penilaian dan apa yang pihak berkenaan bersedia bayar untuknya,” katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nilai pembida tertinggi.

Mengenai perniagaan gula, yang mengalami lebihan kapasiti di kilang penapisan baharu MSM Holdings Bhd di Johor, FGV berkata ia sedang dalam rundingan di peringkat lanjutan dengan rakan kongsi di China mengenai pembelian 700,000 tan gula.

Haris Fadzilah berkata kilang penapisan baharu itu akan meningkatkan kapasiti MSM kepada 2.25 juta tan setahun, melebihi paras permintaan maksimum Malaysia sebanyak 1.6 juta tan setahun.

“Kami perlu eksport. Jadi kami mencari rakan kongsi dengan keupayaan untuk mengeksport. Pada masa ini, hanya lima negara di dunia yang terbuka apabila melibatkan sektor gula mereka, iaitu Australia, New Zealand, Hong Kong, Singapura, dan Emiriah Arab Bersatu. Negara lain mempunyai beberapa bentuk peraturan berkaitan industri gula mereka.

“Kami berbincang dengan pihak dalam pasaran mengenai jurang antara bekalan dan permintaan. Kami berbincang dengan rakan kongsi di China bagi 700,000 tan daripada kapasiti kami dan sebaik sahaja ini dimuktamadkan kami akan memperuntukkan 300,000 tan kepada pasaran tempatan,” katanya.– BERNAMA