Malaysia Dateline

FGV perlu dipulangkan kepada Felda tanpa campurtangan Syed Mokhtar, desak MBFM

Generasi baharu Felda hari ini menegaskan pendirian mereka untuk menolak sebarang cadangan atau usaha mana-mana pihak ketiga untuk pengambilalihan Felda Global Ventur Sdn Bhd (FGV).

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM)  Muhammad Fadzli Hassan berkata, anak muda Felda berpendirian FGV perlu dikembalikan kepada Felda sama ada melalui kerajaan atau Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dimiliki sepenuhnya warga Felda.

Muhammad Fadzli Hassan

Ini amat penting bertujuan bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan warga peneroka.

“Felda dan FGV boleh diibaratkan seperti ayah dan anak. Sudah menjadi tanggungjawab ayah untuk memberikan yang terbaik kepada anak.

“FGV pula sebagai anak yang bertanggungjawab haruslah menjaga dan mentadbir aset-aset yang ‘diwariskan’ kepadanya dengan sebaik mungkin seterusnya membalas dengan bayaran dividen yang tinggi serta peratusan keuntungan hasil ladang yang dipajakkan oleh Felda kepada FGV,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dipercayai mengulas mengenai satu laporan portal berita The Edge baru-baru ini yang dipetik berkata, konglomerat Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary berkemungkinan akan menjadi pemegang saham 20% di dalam FGV.

Laporan yang memetik sumber itu, mengatakan,Syed Mokhtar telah bertemu dengan institusi kewangan untuk memperoleh pembiayaan RM1bilion untuk memudahkan proses pengambilalihan FGV.

Menurut Muhammad Fadzli lagi, penubuhan FGV yang dibina melalui keringat peneroka dan dedikasi kakitangan Felda serta pekerja anak-anak syarikat dibawahnya dimana sebelum FGV disenaraikan, hasil dari tanah ladang seluas 350 ribu hektar dan perniagaan hilirannya menyumbang pendapatan kepada Felda sekurang-kurangnya RM1 Bilion setahun.

Justeru daripada hasil inilah kebajikan dan kesejahteraan warga peneroka dan kakitangan Frlda ujarnya lagi, terbela ketika dibawah Felda Holdings Berhad dan sebelum FGV disenaraikan.

“Sebagai generasi baharu Felda dan juga pemegang taruh, kami meletakkan ketegasan agar usaha ini perlu dihentikan dan memohon campur tangan daripada kerajaan.

“Kami yakin melalui pelan pemulihan yang telah dan sedang diusahakan serta mengembalikan FGV kepada Felda, adalah kegemilangan Felda dan warganya dapat dikembalikan serta objektif ‘kertas putih’ kelestarian Felda dapat dicapai.

“Keutamaannya adalah warga peneroka yang merupakan pendiri Felda,” ujarnya.