Fida Ibrahim diperintah bayar RM280,000, didapati bersalah buat hantaran berbaur fitnah

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Fida Ibrahim diperintahkan untuk membayar ganti rugi RM280,000 kepada seorang usahawan dan syarikatnya kerana mengeluarkan hantaran berbaur fitnah di media sosial, tiga tahun lalu.

Keputusan dibuat pada Rabu oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee selepas membenarkan saman ahli perniagaan terbabit iaitu Datuk Haris Embong dan Arisprop Holdings Sdn Bhd.

Pemilik nama sebenar Rafidah Ibrahim itu juga turut dikenakan faedah sebanyak lima peratus bermula daripada penghakiman hingga selesai membuat pembayaran ganti rugi berkenaan, lapor Mstar.

Meluahkan rasa syukur kerana keputusan berpihak kepadanya, Haris memaklumkan bahawa kemenangan itu bukanlah semata-mata untuk mendapatkan wang pampasan.

Sebaliknya, ahli perniagaan berusia 47 tahun itu mahu membersihkan namanya yang sudah tercalar melalui saman fitnah difailkan olehnya terhadap pelakon berkenaan pada tiga tahun lalu.

Haris yang menjalankan perniagaan produk sejuk beku itu juga mengakui merasa kasihan kepada Fida kerana perlu menjelaskan tuntutan berkenaan ekoran tidak tahu sekiranya pelakon itu mampu atau sebaliknya.

“Saya bersyukur dalam masa tiga tahun, imej yang terjejas sudah dibersihkan. Saya bukanlah gembira sangat, kalau boleh tak nak berlaku. Tetapi terpaksa lakukan sebab nak bersihkan imej saya dan syarikat yang sudah tercalar.

“Secara jujurnya, saya tak meletakkan letak jumlah pampasan (yang diminta). Cuma nak bersihkan nama sahaja. Itu semua (jumlah pampasan ditetapkan) dari pihak mahkamah.

“Saya sangat kasihan kepada dia (Fida), adakah dia mampu atau tidak untuk bayar denda berkenaan,” kata ahli perniagaan berkenaan memetik laporan Mstar.

Sekadar info, Fida sebelum ini pernah bekerja di Arisprop Holdings Sdn Bhd sebagai ketua pemasaran syarikat namun diberhentikan kerana prestasi kerja yang kurang memuaskan selepas berkhidmat selama tiga bulan bermula Jun 2021.

Haris kemudian memfailkan saman fitnah terhadap Fida selepas pelakon itu didakwa melemparkan fitnah menerusi hantaran di media sosial milik pelakon terbabit hingga syarikatnya mengalami kerugian.

Baca juga: CEO McDonald’s salahkan boikot umat Islam punca jualan global mereka merosot