Malaysia Dateline

Fikir melepasi pimpinan negara yang ada, cadang Kadir Jasin

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin berpandangan, rakyat negara ini wajib bersedia berfikir untuk menggantikan pemimpin yang ada sekarang dengan saf kepimpinan baru melepasi barisan kepimpinan yang ada.

Datuk A Kadir Jasin “Pada pandangan saya, kita wajib bersedia berfikir mengenai kepemimpinan negara kita melepasi pemimpin barisan hadapan yang ada sekarang.

“Kita wajib memberi peluang kepada barisan pemimpin pewaris untuk mengambil alih secara teratur dan terancang demi menjamin kesinambungan pemerintahan negara,” kata beliau dalam tulisa di facebook beliau.

Katanya, pemimpin barisan hadapan yang ada hari ini menceburi politik dan menduduki jawatan penting ketika mereka masih muda.

“Jadi tidak ada sebab dan alasan mengatakan pemimpin muda pada hari ini tidak layak,” katanya dalam tulisan itu.

Beliau merasa lebih daripada yakin bahawa kita mempunyai bilangan pemimpin pewaris yang cukup besar dan berkebolehan untuk dilatih dan diberi peluang mengambil alih.

“Adalah amat berbahaya kita membenarkan diri kita terus terpukau dan menjadi mangsa rasuah politik ala “the sheme of things” dan “cash is king” sehingga tidak boleh lagi melihat ke hadapan melepasi barisan pemimpin kanan yang ada sekarang,” kata beliau dalam tulisan itu.

The sheme of things adalah merujuk kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata demikian dalam mesyuarat dengan barisan kepimpinan kanan Bersatu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pengerusinya.

Cash is king adalah perkataan yang digunakan oleh Datuk Seri Najib Razak yang selalu diulang-ulang oleh Mahathir ketika merujuk tentang kepimpinan Najib.

Dalam poster yang disiarkan beliau dalam blognya, Kadir berkata, “Apakah kita bersedia berfikir melepasi Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Mohd Yassin dan Anwar Ibrahim?

“Kalau jawapannya ‘ya’, siapakah yang kita harapkan,” kata bekas Penasihat Media Perdana Menteri yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, kumpulan media utama negara itu.