Fikirkan penyelesaian laksana manifesto

Fikirkan penyelesaian laksana manifesto

Belum tertuai lagi hasil dari demokrasi yang kita semai. Belum berbuah lagi politik baharu yang kita bajai. Kita masih terperangkap dalam kitaran sama seperti dekad lalu. Masyarakat yang hanya makin terbelah, dan kepimpinan yang saling berbalah. Aneh, dalam banyak perkara yang mampu kita capai, kita memilih untuk gagal.

Saya tidak akan jemu untuk mengulangi bahawa kita sedang menafikan sebuah kemungkinan buruk. Kita sedang berilusi bahawa 4 tahun dari sekarang, kita masih mampu mempertahankan kerajaan ini.

Mungkin keyakinan tersebut datang pengalaman lampau waktu menjadi pemerintah di beberapa negeri. Krisis demi krisis, tiga kali pilihan raya masih juga bertahan. Sayangnya, saya tidak kira nasib pakatan ini akan sebaik dahulu lagi. Sekurang-kurangnya jika masih kekal dengan sikap masa ini.

Ada banyak cemuhan dan jolokan yang sedang dengan gembiranya dimainkan oleh pembangkang. “Kerajaan U-Turn”, “Pakatan Hancing”, “Kerajaan Sepenggal”, dan beberapa yang lain. Jangan kita marah, apatah lagi menghiraukannnya. Jolokan ini tidak akan sampai ke telinga kita kalau tidak kerana memang ia sedang ditutur oleh rakyat kebanyakan. Bukan semua rakyat yang dahulu menumbangkan Umno-BN adalah penyokong Pakatan Harapan, apatah lagi pemegang kad keahlian AMANAH.

Undi penentu datang dari pengundi atas pagar itu betul, kerana hampir semua pengundi di Malaysia sebenarnya adalah pengundi atas pagar kecuali ahli Pas. Hari ini mereka membenci Umno – esok mereka kembali merasakan yang Umno adalah penyelamat mereka.

Standard moral sebilangan besar masyarakat kita – tak kira Melayu, Cina, atau India pun kadangkala agak memusykilkan. Betapa besar pun rasuah yang terpalit ke atas satu-satu pemimpin – ia tidak sebesar dosa menjadi ahli DAP misalnya. Atau dosa menyokong tulisan Jawi dipelajari di sekolah. Maka masyarakat yang rapuh dan tidak tetap sebegini jangan diuji terlalu lama.

Kembali kepada cemuhan dan jolokan yang diconteng ke wajah Pakatan Harapan (PH). Biar sedikit lambat, ada juga pemimpin yang mengingatkan kita untuk melihat kembali kepada kegagalan menunaikan apa yang dijulang waktu pilihan raya.

Tanpa mengira parti mahupun kem, dan sekadar menyebut nama yang muncul di media – Anwar Ibrahim, Nga Kor Ming, Johari Abdul, Mahfuz Omar, Rais Yatim, Gobind Singh dan terbaru Lim Kit Siang adalah antara pemimpin yang dirakam menyuarakan kepentingan melihat semula pelaksanaan manifesto. Tanpa mengira parti mahupun kem juga, harus lebih ramai yang menyuarakan perkara yang sama.

Tentulah di sebaliknya pula ada pimpinan yang mengelak dari memikirkan penyelesaian – lebih selesa memikirkan alasan. Ada yang memohon maaf, ada yang memberi garis masa baharu. Ada juga yang langsung menyanggah manifesto – mengulangi skrip lama ala Khalid Ibrahim (manifesto bukan janji).

Kita puji ketegasan, namun rakyat Malaysia bukanlah masyarakat yang terlalu tinggi nilai sabarnya (kerana kesabaran mereka telah diberi kepada Umno selama 60 tahun). Seperti yang awal saya sebut tadi – masyarakat yang rapuh sebegini bukan boleh diuji. Orang muda bilang – tak boleh bawa bincang.

26 Julai lalu, dilaporkan PH telah menubuhkan jawatankuasa pelaksanaan manifesto PRU-14, langkah yang kerajaan terdahulu tentulah tak pernah pun fikir untuk buat. Kalau langkah ini mampu jadi permulaan kepada jalan keluar buat masalah hari ini, kita ucapkan selamat maju jaya. Survival PH dalam PRU-15 sekarang berada di tangan jawatankuasa tersebut, dan tulisan ini tidaklah lebih dari sekadar ingat-ingatan.

 

*Penulis merupakan aktivis sosial dan Pendidikan. Artikel ini dipetik dari akhbar Mingguan Amanah Bil 164, 18 – 24 Ogos 2019.