Malaysia Dateline

Fikirkan semula nak bersatu atau tak

Konflik dalaman parti dan isu pengukuhan kesatuan dalam sayap pemuda AMANAH terus dibangkitkan dalam Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional hari ini.

Perwakilan Melaka, Fakhrul Razi tegas mempersoalkan berapa ramai dalam kalangan pemuda AMANAH yang setia menunjukkan sokongan dan mempertahankan pemimpin mereka.

Fakhrul Razi

Menurutnya, AMANAH sendiri sudah berada di dalam perpecahan kerana mereka tidak pernah bersatu memberi sokongan kepada kepimpinan pusat.

“Pemuda adalah sayap utama dalam AMANAH tapi berapa ramai yang sering bercanggahan dengan parti. Berapa banyak kenyataan pimpinan nasional yang ahli sendiri tak sokong. Bahkan jadi ejekan dan troll di Facebook.

“Kalau kita pemuda tak berjaya membuktikan bahawa pemuda adalah tiang kepada parti yang bertindak untuk menyokong serta mengukuhkan parti, wajah apa yang kita nak bawa?,” soalnya semasa membahaskan pidato Ketua Pemuda AMANAH Nasional hari ini.

Pada masa sama katanya, jika sayap pemuda tidak mengambil serius isu perpecahan dalam parti, bimbang tohmahan musuh politik tentang ‘parti sepenggal’ akan menjadi satu kenyataan.

“Ramai ahli sedar, AMANAH sudah dalam perpecahan. Kalau tak baiki dan ambil serius, kita takut kata-kata musuh politik boleh jadi satu kenyataan,” katanya.

Sementara itu perwakilan Wilayah, Fadhlullah Ismail berkata, penyelesaian bukan di bahu pimpinan peringkat nasional tetapi melibatkan kesemua ahli pemuda yang bertanggungjawab meraikan kedua-dua pihak.

Fadhlullah Ismail

Beliau turut mengingatkan, AMANAH keluar dari Pas kerana tidak bersetuju dengan cara parti itu dan dengan itu meminta sayap pemuda untuk tidak mengulangi hal yang sama di dalam parti baru mereka.

“Semua orang juga diminta hentikan keluar poster atau kenyataan yang mewakili kelompok tertentu kalau betul bersungguh mahukan perpaduan,” katanya.