Malaysia Dateline

Filem Iban pertama bakal ditayangkan di China

Filem moden Iban pertama Malaysia, ‘Bunga Ngerembai’ bakal ditayangkan di negara China yang mana proses penggambarannya kini sudah mencapai tahap 40 peratus siap.

Menteri Kerja Raya Malaysia, Baru Bian dalam sidang media Filem ‘Bunga Ngerembai’di Kuching semalam menyatakan beliau memuji langkah proaktif pihak produksi Telbina Technology Sdn. Bhd iaitu sebuah syarikat Bumiputera tempatan Sarawak yang telah mengambil inisiatif dalam mengeluarkan filem yang mendukung industri perfileman etnik.

“Kita semua mengetahui hakikat yang jelas iaitu kalau dibicarakan tentang industri perfileman etnik, ia sesuatu yang jarang atau tidak wujud. Dalam konteks ini, adalah diharapkan selepas filem ‘Bunga Ngerembai’ ini nanti, lebih banyak lagi filem dari Sarawak terutamanya filem berasaskan sejarah, budaya dan kontemporari etnik di Sarawak akan diterbitkan.”

“Saya menyeru agar agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab seperti FINAS memberi bimbingan yang sewajarnya kepada para pengeluar filem dan pelakon etnik di samping bermurah hati menyediakan insentif kewangan kepada pengusaha-pengusaha filem etnik.

“Saranan saya ini dibuat dalam konteks hasrat kita yang ingin membangunkan industri filem etnik yang pastinya boleh menyumbang kepada kepelbagaian filem keluaran negara kita,” katanya.

Malah, Baru turut menyeru kepada syarikat-syarikat swasta agar turut tampil bersama memainkan peranan membangunkan industri perfileman etnik sebagai suatu tanggungjawab koporat dan mengharapkan agar tahun 2020 bakal bermulanya titik tolak kemajuan industri perfileman etnik selaras dengan dasar keterangkuman kerajaan.

Tambah beliau lagi, matlamat rakyat Sarawak untuk menyaksikan filem etnik berada di tahap yang setanding dengan filem lain yang sudah memiliki asas teguh di negara ini boleh dicapai sekiranya semua pihak bersedia berganding bahu dan serius dalam usaha memajukan filem etnik sebegini.

Pada sidang media sama, Pengarah Filem ‘Bunga Ngerembai’ Dato’ Robin Lai berkata, filem yang bakal menembusi pasaran China ini bertujuan untuk mengetengahkan keberadaan dan kemampuan Sarawak kepada dunia dan filem yang menggunakan dialog bahasa Iban sepenuhnya bakal memiliki sari kata dalam pelbagai bahasa utama semasa tayanganya kelak.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam proses menjayakan filem ini terutamanya pihak penerbit bersama ‘Bunga Ngerembai’ dari negara China yang telah sudi bekerjasama dalam proses pembikinan filem tersebut.

Sementara itu, kos penghasilan ‘Bunga Ngerembai’ dianggarkan berjumlah RM4 juta dan sebahagian besar watak dalam filem ini dimainkan oleh para pelakon berbangsa Iban.

Jalan ceritanya berkisarkan kisah tiga beradik yang terpisah semasa kecil dan mereka telah bertemu semula secara tidak sengaja ketika salah seorang adik beradik tersebut yang bertugas sebagai pegawai polis sedang menyiasat sebuah kes jenayah.

Antara pelakon utamanya ialah Jessy Nana sebagai Jawai, Ruben Gomes sebagai Tagok dan Sylvia William sebagai Sulan.

Hadir sama, Pegawai Tugas-tugas Khas KKMM di Sarawak, Dr. Dusit Jaul merangkap penasihat Filem ‘Bunga Ngerembai’, Pengarah Telbina Technology Sdn. Bhd., Jerriface Mason, Pengarah FINAS Sarawak, Maffizan Saufi serta penerbit bersama dari negara China iaitu Penerbit Oversea and Chinese Media and Communication Co. Ltd, Jitang Zhang dan Pengarah Urusan VAP Capital Sdn. Bhd., Vincent Chan.