Malaysia Dateline

Filem penuh Mat Kilau dirompak, ditayang secara haram di Telegram

Selepas sedaya upaya memastikan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tidak dicetak rompak, rakaman berkenaan dilaporkan sudah tersebar dan dikongsikan secara haram di aplikasi Telegram.

Menurut laporan Kosmo!, satu channel Telegram telah diwujudkan dan memuat naik filem berkenaan dengan terselit iklan-iklan mempromosi judi di dalamnya.

Channel berkenaan setakat semakan Malaysia Dateline sudah mempunyai lebih 11,000 pengikut (subscribers).

Iklan judi tersebut dipaparkan dalam bentuk tulisan menggunakan bahasa dari negara seberang iaitu di awal dan pertengahan tayangan selain ada juga video kira-kira 10 saat.

Mengikut tarikh yang dipaparkan, ‘channel’ tersebut diwujudkan pada 2 Julai.

Kemudian pada 12 Julai, pihak itu memuat naik poster filem seterusnya berkongsi tayangan penuh pada 26 Julai.

Memetik Kosmo!, bintang utama Mat Kilau, Datuk Adi Putra ketika dihu­bu­ngi berkata, beliau sedia maklum mengenai kebocoran filem tersebut pada aplikasi Telegram, namun enggan me­ngulas lanjut.

“Saya tahu perkara itu dan telah dimaklumkan kepada pe­nerbit,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam pada itu, penerbit filem yang juga Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt. Dali berkata, be­liau mengetahui insiden itu serta sedang berusaha untuk membuangnya daripada apli­kasi ter­sebut.

“Sedang berusaha buang dan laporan juga telah dibuat kepada Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Suruhanjaya Komunika­si dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya kepada ­Kosmo!.