Malaysia Dateline

Filem Tamil, segar pagi dan politik persefahaman

Dalam kaitan dengan persefahaman politik atau MoU yang dicapai antara kerajaan dan pembangkang, saya teringat kepada suatu dialog daripada sebuah filem Tamil/Telugu bernama Tughlaq Durbar, sebuah filem satira politik yang disiarkan di Netflix, apa yang menarik kepada saya ialah percakapan antara seorang pemimpin politik dan protegenya yang cenderung kepada rakyat.

Pemimpin tersebut berkata kepada pemimpin muda itu bahawa “politics is not about trust but it’s about a deal” (saya ambil daripada sarikata Bahasa Inggerisnya).

Pada pandangan saya sebarang kerjasama, persefahaman atau perjanjian politik yang dimeteraikan sama ada dengan rakyat atau pakatan politik, mesti ada nilai kejujuran dan setiakawan di dalamnya. Ia bukannya umpamanya udang di sebalik batu. Ia juga bukannya persefahaman kosong dikertas sahaja.

Perjanjian persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani PH itu bertujuan memastikan tiada lagi perebutan kuasa melalui jumlah kerusi yang berlaku antara parti-parti politik dalam negara sehingga pilihan raya ke-15.

Namun pada yang sama pembangkang masih mempunyai tanggungjawab menjalankan peranan mereka untuk memerhati dan mengkritik sebarang langkah yang dimainkan kerajaan.

Seperti yang dijelaskan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, PH tidak akan melutut mahupun berdiam diri dari menuntut apa yang sepatutnya untuk rakyat.

Beliau menegaskan, dalam tempoh yang ditetapkan di dalam perjanjian tersebut, kerajaan perlu melaksanakan syarat
pembangkang yang telah pun dipersetujui bersama antaranya membabitkan Rang Undang-Undang Lompat Parti.

Di sebalik segala kenyataan yang mengingatkan supaya persefahaman ini dipatuhi dan persetaraan antara semua pihak yang perlu dihormati, saya beranggapan apa yang berlaku seperti suasana di pagi hari ini yang segar bugar itu. Udara nyaman yang dihidu atau dihirup ke dalam diri sebuah negara.

Mungkin untuk memulihkan suasana hambar, murung di dalam negara ketika berhadapan dengan isu C-19 dan ekonomi yang pincang, kemelut kuasa yang tidak berkesudahan maka boleh diandaikan MoU yang dicapai ibarat suasana pagi yang sentiasa mempunyai makna yang sangat baik, yang segar. Ada yang mengaitkannya dengan terbitntya matahari yang menandakan sinar baharu bagi negara.

Umpamanya seseorang rakyat itu bangun pagi pergi kerja seperti kelaziman walaupun dengan SOP yang perlu dihormati. Di samping para pelajar bersekolah semula dengan risiko yang rendah ancaman C-19 setelah dua dos diambil.

Bagaimana dengan tengaharinya dapatkah makanan dinikmati di gerai, kafe atau restoren seperti sebelum ini? Atau pada sebelah petang bagaimana kegiatan beriadah di tempat awam dan malamnya bolehkah menikmati teh tarik sambil menonton perlawanan bola speak Liga Malaysia atau EPL di stadium restoren mamak?

Semua ini adalah antara beberapa contoh kerutinan hidup masyarakat yang dapat dilakukan semula dengan pelitup dan SOPnya.

Begitu juga dengan pemulihan ekonomi yang dapat dihidupkan dengan peluang pekerjaan dibuka semula. Ini semua bergantung kepada suasana segar kepagian yang berjalan sepanjang hari, mengharungi tengahari yang panas, petang di mana matahari berlabuh menantikan bulan cahaya malam yang menampakkan dirinya dalam suasana aman.

Mungkin juga pada ketika ini kedua-dua pihak saling memerlukan bagi mengekalkan suasana pagi terus segar dengan kicauan burang yang menyambutnya di negara ini.

Apa yang menjadi keruntinan ini bergantung kepada sejauh manakah MoU atau persefahaman yang dicapai ini dengan kepatuhan kepada perjanjian, saling menghormati antara satu sama lain dan tidak mencari kesempatan itu untuk mengekal dan mengukuhkan kuasa sebagai persediaan pilihan raya ke-15 nanti.

Di samping itu tiada juga bermain politik di sebalik tabir atau mengatur dan mencatur strategi politik di sebalik pelitup. Apa yang diutamakan sekarang gambaran besar yang mengutamakan negara daripada parti.

Persetujuan dariapada persefahaman ini hanyalah dalam perkara-perkara tertentu sahaja ia bukan bererti memberi sokongan penuh secara membuta tuli atau memberi kepercayaan kepada Ismail Sabri.

Apa yang penting persefahaman ini yang melibatkan keutamaan rakyat antaranya reformasi Parlimen, bantuan wang untuk rakyat, COVID-19, kebebasan kehakiman seperti yg dititah Yang Di-Pertuan Agong.

Jika berlaku salah guna kuasa, rasuah atau penyelewengan maka MoU boleh saja terbatal sekiranya kerajaan tidak memenuhi objektif tuntutan PH dalam MOU.

Jika ia hanya sekadar dialog dalam filem Tamil ““politics is not about trust but it’s about a deal”, perjanjian yang seumpama ini ibarat telunjuk lurus kelinking berkait di mana suasana pagi tidak jernih lagi, tengahari yang perit dan melekit, petang yang sinar mentari merudum dan malam yang pekat gelap tapi penuh kepanasan.
————–
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)