Finland sumbang AS$4.2 juta untuk bantu program UNICEF di Lubnan

Finland sumbang AS$4.2 juta untuk bantu program UNICEF di Lubnan

Finland pada Rabu menyumbang sejumlah 3.7 juta euro (US$4.2 juta) kepada program “No Lost Generation” di Lubnan yang dipelopori Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Program itu bertujuan menyediakan akses kepada perlindungan, bantuan sosial dan pendidikan untuk kanak-kanak berusia lebih 10 tahun.

“Lebih 7,000 kanak-kanak dan remaja, yang ketika ini tidak memiliki sebarang bentuk pendidikan dan terdedah kepada risiko tinggi bekerja sebagai buruh kanak-kanak serta berkahwin awal, akan mendapat akses kepada pembelajaran tidak formal, sokongan psikososial, bantuan sosial serta latihan kemahiran sepanjang hayat dan berasaskan kompetensi,” menurut kenyataan UNICEF yang dikeluarkan kepada Agensi Berita Nasional.

Pembiayaan baharu itu akan memfokus kepada golongan kanak-kanak paling terdedah di 56 perbandaran di Lubnan.

Duta Finland ke Lubnan Tarja Fernandez berkata bantuan pendidikan dan latihan vokasional yang diberikan kepada golongan muda mencerahkan lagi peluang mereka untuk memiliki masa depan yang lebih baik.

Violet Speek Warnery, timbalan wakil UNICEF di Lubnan, berkata agensi beliau akan terus membantu golongan kanak-kanak dan remaja terbabit dengan menyediakan pendidikan, perlindungan serta peluang untuk masa depan yang lebih baik menerusi sumbangan Finland.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Finland kerana sokongan berterusan mereka terhadap kerja-kerja kami yang membabitkan kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.

— BERNAMA