Fiqh Malaysia: Cuplikan ucapan antara Dr Mujahid dan Dr Zakir Naik

Fiqh Malaysia: Cuplikan ucapan antara Dr Mujahid dan Dr Zakir Naik

Saya keluar dari kepompong Melayu Islam di universiti dua tahun yang lalu, mulai bergaul silang bangsa secara rapat dalam tempoh itu juga. Baru saja memulakan diskusi rentas agama dengan rakan-rakan Kristian, Hindu, dan Sikh sekitar tempoh yang sama.

Barangkali kamu tahu saya ini peminat tegar Dr. Zakir dan gurunya Syeikh Ahmed Deedat. Tanyakan saja keluarga terdekat saya, juga rakan-rakan yang mengenali saya secara berdepan, lebih-lebih lagi yang berada dalam Pas dahulu.

Melihat kepada respon culas minda pengguna siber yang kerap kali diterjemahkanke dalam dunia sebenar, juga setelah membaca buku “Thinking Fast and Slow”tulisan pemenang hadiah Nobel ekonomi Daniel Kahneman, saya dengan sedar memilih untuk tidak menggunakan cara Dr. Zakir dalam dialog kecil saya ini,apatah lagi dalam dialog yang besar-besar.

Respon dan post yang kebanyakannya bersifat melatah berkaitan video Dr.Mujahid di IKIM menguatkan lagi pendirian saya. Bezanya saat ini, setelah mendengar cuplikan ucapan Dr. Mujahid itu, yang melatah ialah orang Islam meski bukan agama mereka yang diperkatakan.

Hanya dengan satu tokoh saja dikritik, Dr. Zakir Naik, sudah cukup membuatkan mereka tidak senang duduk.

Bagaimanalah pula jika Tuhan/Dewa orang bukan Islam dipetik di khalayak umum lalu lawan Tuhan mereka diangkat? Apakah orang bukan Islam tidak akan melatah bila agama mereka diperkatakan, dengan latar minda yang saya sebutkan awal tadi? Apa pula yang akan berlaku seterusnya? Islam diterima, negara sejahtera?

Barang mungkin kita terlupa firman Allah Takala dalam surah al-Anʿām 6:108 agar tidak merendahkan sembahan manusia yang lain, nescaya mereka merendahkan pula Allah Ta’ala atas kejahilan dan permusuhan.

Bukanlah sayamengatakan Dr. Zakir ini siang dan malamnya menghina agama lain, sama sekali tidak. Tetapi tema dan pembawaannya ada sesuatu yang tidak kena dengan masyarakat majmuk Malaysia ini.

Manhaj perbahasan yang dibawa Dr. Zakir ada latar kemunculannya. Ia, dalam sejarah moden, bermula di Durban Afrika Selatan saat mubaligh Kristian datang memperkecil-kecilkan kepercayaan seorang anak kecil penjaga kedai runcit di situ.Anak kecil itu orang susah, datang dari India mencari kehidupan di Afrika Selatan.

Namanya – Ahmed bin Deedat. Terkesan dengan penghinaan itu, pergulatanberlaku dalam diri. Dengan tekad yang tulus, Ahmed bertemu buku Syeikh Rahmatullah Kairanawi di sebuah stor. Buku yang sudah berhabuk itu dicapainya,
dibersihkannya, dan tertulis di situ “Izhār ul-Haqq” (Menzahirkan Kebenaran).

Menariknya, buku ini juga ditulis berlatarkan penentangan keras British ke atas umat Islam dan kepercayaannya saat India masih di bawah penjajahan.

Metod ‘dialog-tempur’ ini diambil oleh anak kecil yang sedang meningkat remaja itu, lalulahirlah tokoh yang dikenali seantero dunia Islam – Syeikh Ahmed Deedat.Metod itu diturunkan kepada perintisnya yang paling cerdas, dilatih sendiri olehbeliau selama beberapa tahun. Maka lahirlah generasi kedua suara pendakwah Islam versi ‘dialog-tempur’ ini — Dr. Zakir Naik. Seorang doktor bedah, seorang pendakwah.

Soalnya, apa latar dan motif kemunculan gerakan ‘televangelis Islam’ ini sama dan diperlukan oleh tanah kita? Mubaligh Kristian mana yang begitu kombatif untuk kita bertindak agresif meski secara kalamnya? Atau apakah kita tanpa disedar yang terlalu kombatif, lalu golongan bukan Islam menjadi agresif, dan tidak semena-mena kita pula berasa terancam? Dan kita pula cuba mendiamkan mereka kerana mereka ini ‘mengancam’ Islam?

Dari sudut yang lain, bagaimana pula dengan soal penerimaan manhaj ini? Seperti yang dinyatakan, sudah tentu suara-suara yang menentang sudah lama kedengaran di tanah ini, baik individu mahupun organisasi. Sudah tentu juga suara-suara itu pertamanya suara golongan bukan Islam. Mereka sudah sepatutnya berasa terancam dan diperkecilkan. Dan kita pula cuba mendiamkan mereka kerana mereka bukan Islam?Kepincangan apakah ini?

Lalu dan keduanya, perbincangan seperti ini jika benar-benar dengan disiplin perbandingan agama, harus disediakan ruangnya. Yang dimaksudkan ialah perlu ada ruang umum dan ruang khusus. Ia perlu menjadi hidangan khusus untukkelompok yang berkapasiti, bukan untuk khalayak umum yang mindanya lebih senang dengan filem “Hantu Kak Limah” dan “Langsuir” berbanding “Pulang” dan “Crossroad: One Two Jaga” (maaf, selingan).

Dan kelompok yang berkapasiti ini, semisal warga universiti, mestilah pula dalam jumlah yang tidak terlalu  ramai dan terkawal, dengan anggapan warga universiti juga bukan jenis “Hantu Kak Limah.”

Rasulullah tidak langsung naik ke Bukit Saffa itu melainkan tiga tahun sudah berlalu, bukan?

Pada masa yang sama, setiap orang daripada agama yang berbeza diberi peluangyang sama luas untuk bersuara dalam ruang ini, tanpa latar sekeliling menjadikan mereka berasa persis warga kelas kedua; dengar angguk, tidak setuju diam (atau keluar).

Barulah pertukaran pendapat berjalan dengan semangat mencari kebenaran dan saling mempelajari; bukan seorang di atas pentas dengan segala cemerlang cahayanya, selebihnya di bawah beratur untuk sekadar bertanya dalam
had masa yang singkat.

Kita mahu manusia menerima Islam dengan lapangnya dada, bukan dengan sempit sesaknya rasa. Setelah kebenaran disampaikan dengan jelas dan tenteram, barulah kita benar-benar dapat membacakan “lā ikrāha fi-ddin” kerana telah terlaksana “qad tabayyanar-rusydu min-al-ghay.”

Saya mula merenung pendirian saya akan manhaj Dr. Zakir ini saat di RumahShah Alam, sewaktu pilihanraya kecil di Sg. Besar tahun 2016. Hari itu hari Jumaat. Hari hujan, kami tidak dapat keluar berkempen seusai solat. Isu Dr. Zakirbaru saja meletus, dan satu tulisan diangkat di laman sesawang IRF bertajuk “ZakirNaik’s Appeal and the Quagmire of Inter-religious Relations in Malaysia” oleh Mohamed Imran Mohamed Taib.

Saya membacanya dengan cemas. Kepercayaanku dirobek-robek. Tetapi apa yang dibangkitkan beliau bernas sekali. Saya termenung sendiri.

Proses perbahasan silang agama ini penting, sebagaimana penting juga proses memahami budaya dan bahasa silang bangsa. Ia harus bermula dengan ‘tadarruj’ sedikit demi sedikit, mematangkan masyarakat kita dengan ide-ide besar dan bernas, cinta kepada ilmu dan menghargai kehalusan seni daripada mana jua sumbernya.

Bukan seperti seorang kyai tua dalam filem Sang Pencerah, melarang Kyai Dahlan menggunakan kerusi meja di madrasahnya hanya kerana ia buatan‘orang kafir,’ menyerupai sekolah Kweek school.

Pada satu detik di masa depan, saat filem persis “Pulang” meraih jutaan ringgit seminggu di Malaysia mengatasi filem searas “Hantu Kak Limah,” barangkali pendekatan yang lebih terbuka manhaj Dr. Zakir ini boleh kita mula tonjolkan.

Tidak perlu dibawa masuk dari luar, kita sendiri boleh mengangkat tokohnya.Orang-orang hebat bukan langsung tiada daripada bangsa kita, yang faham benar isu-isu sulit dan genting tanah kita ini. Saat itu harapnya bangsa yang ada bukan lagi bangsa Melayu, Cina, atau India. Tetapi — Bangsa Malaysia. Majmuk da nharmoni.

Yang pastinya hal itu bukan hari ini. Fiqh Malizi perlu dikuatkan modelnya dahulu. Ilmu dan pembacaan kritis wajib dibudayakan. Kritikan bernas perlu terus dilantunkan; biar tenggelam habis hamis maki-makian, malu sendiri yang tidak terpelajar (dan malas belajar).

Apapun, jika kita lebih selesa berfikir melulu, melatah ke hilir dan ke hulu, silakan saja. Masa dan keazaman massa akan mengubah kita, atau kita pupus di tanah sendiri.

Jangan sampai dipekik dilaung tanah ini tanah “Melayu Islam,” tetapi bak kata Syeikh Muhammad Abduh — “Aku melihat qaum muslimin tetapi aku tidak melihat Islam.”

Saya optimis ini bukan masa depan kita, meski ia pasti sukar. Ke arah Malaysia yang lebih baik.

*Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis tidak mewakili pendirian penerbit.

COMMENTS

Wordpress (0)