Malaysia Dateline

Fitnah beri bantuan RM500: Jeming berjaya ubah serangan jadi peluang

Tindakan pihak tertentu yang cuba merosakkan reputasi Ketua Pemuda AMANAH Kelantan dengan membuat sebaran poster kononnya akan memberi bantuan tunai kepada rakyat akhirnya dilihat menjadi peluru makan tuan.

Tular dalam aplikasi WhatsApp dan Facebook sejak pagi tadi tentang satu poster kononnya Zulhazmi Hassan akan memberi bantuan sebanyak RM500 kepada mana-mana pihak yang menghubungi beliau untuk meminta bantuan.

Dalam poster itu juga dipaparkan gambar beliau bersama nombor telefon peribadinya, dipercayai sengaja dibuat oleh pihak Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan penyokong tegar Pas atau ‘walaun’ bertujuan mengelirukan rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan.

Ketika ditemui pihak Malaysia Dateline, Zulhazmi berkata, poster itu sebenarnya palsu dan tiada sebarang peruntukan yang diterima sehingga membolehkan pihaknya memberi bantuan RM500.

“Semua orang tahu AMANAH tiada Ahli Parlimen mahupun ADUN di Kelantan. Amat mustahil jika kita mahu beri bantuan sebegitu rupa.

“Ini semua kerja nakal J-KOM dan walaun mahu mengenakan saya,” tegasnya yang juga Ketua AMANAH Kawasan Pengkalan Chepa.

Walau bagaimanapun, beliau yang mesra dipanggil Jeming berkata, pihaknya mengambil sikap berlapang dada dan menyambut secara positif serangan tersebut.

“Setakat ini, sudah 17 keluarga yang hubungi saya untuk minta bantuan kerana percaya kepada poster itu.

“Kita berjaya santuni dan beri sumbangan sekadar termampu,” tambahnya.

Beliau juga bertindak menguruskan segala permohonan bantuan yang diterima melalui pesanan WhatsApp dan telefon itu dengan kerjasama seluruh pasukan dalam Pemuda AMANAH Negeri Kelantan.

“Kami ada 14 Ketua Pemuda Kawasan di seluruh Kelantan. Setakat ini ada bantuan yang diminta datang dari pelbagai kawasan seperti Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan sekitar Kota Bharu.

“Semuanya saya berjaya santuni dan selaraskan dengan KP kawasan untuk dilawati dan diberi sumbangan,” kata Jeming kepada Malaysia Dateline.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak J-KOM dan walaun yang bersungguh-sungguh menyebarkan poster palsu itu sehingga rakyat yang berada dalam kesusahan boleh menghubunginya.

“Ramai hubungi saya untuk minta bantuan. Bila ditanya mereka kata dapat maklumat berdasarkan poster itu.

“Padahal, Pas Kelantan sebelum ini sudah edar nombor telefon para Penghulu untuk dihubungi.

“Nampaknya rakyat tidak percaya kepada Pas dan lebih percaya kepada kami dari AMANAH,” ujarnya.

Jeming memberitahu kaedah yang digunakan pihaknya berhubung permohonan bantuan adalah mudah sahaja dengan mengumpulkan maklumat yang diterima terlebih dahulu.

“Kita akan salurkan kepada KP Kawasan yang terlibat, pergi buat tinjauan dan beri sumbangan sekadar yang termampu kerana kita bekerja dalam pasukan.

“Akhirnya, AMANAH dilihat lebih mendekati rakyat yang dalam kesusahan,” tambah Jeming lagi.

Malaysia Dateline juga difahamkan bahawa walaupun Jeming menafikan poster bantuan RM500 itu di Facebook miliknya tetapi masih ramai yang menghubungi beliau untuk meminta bantuan.

Sebahagian besar daripada pemohon itu sudah berjaya disantuni oleh pasukan Pemuda AMANAH Kelantan pada hari ini.