Fitnah Guan Eng, NSTP diarah bayar RM300,000 ganti rugi

Fitnah Guan Eng, NSTP diarah bayar RM300,000 ganti rugi

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pagi ini memutuskan artikel berjudul “Guan Eng tarik balik saman Shaik Hussein” yang disiarkan Berita Harian bertarikh 20 Ogos 2015 mempunyai niat jahat serta berunsur fitnah.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Rosilah Yop mengarahkan New Straits Times Press Berhad (NSTP) membayar RM300,000 ganti rugi, kos sebanyak RM35,000 serta 5 peratus faedah sehingga penyelesaian penuh kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“Mahkamah mendapati pihak wartawan Berita Harian memang mengetahui terma-terma dalam penghakiman persetujuan antara Datuk Shaik Hussein Mydin dan Lim Guan Eng, memandangkan beliau (Siti Sofia) telah meneliti, membaca dan memahami draf penghakiman persetujuan itu.

“Kedua, Mahkamah mendapati artikel berita tersebut tidaklah wajar dan tidak tepat berdasarkan inti penghakiman persetujuan.

“Berdasarkan penghujahan kedua-dua belah pihak, Mahkamah juga mendapati ada niat buruk dan tuduhan rasuah yang serius,” jelas Peguam Plaintif, Simon Murali kepada pemberita di luar kamar Mahkamah Tinggi 4 dekat Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Georgetown.

Hadir sama Pegawai Khas Undang-Undang Ketua Menteri, Raja Syarafina Raja Shuib.

Simon Murali berkata, kenyataannya itu adalah berdasarkan ketetapan yang dilafazkan oleh Hakim Rosilah.

Pun begitu, Simon Murali memberitahu pihak defendan yang diwakili Leong Wai Hong mempunyai hak untuk membuat rayuan.

Terdahulu, Shaik Hussein pada 5 Oktober 2012 dilaporkan menuduh Guan Eng sebagai korup dengan melakukan penipuan serta menerima rasuah daripada Pusat Pergigian Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIDC).

Ini berkait projek pembangunan bercampur di atas sebidang tanah berhampiran Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin.

Tuduhan ke atas Guan Eng itu turut disiar dalam akhbar Berita Harian, milik NSTP.

Akhirnya, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes tersebut secara penghakiman persetujuan di mahkamah, dengan syarat permohonan maaf serta menarik balik tuduhan dibuat oleh Shaik Hussein dalam akhbar Berita Harian.

Guan Eng dalam sesi perbicaraan pada 14 November tahun lalu antara lain mempertikai laporan berita berjudul ”Guan Eng tarik balik saman Shaik Hussein” yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 20 Ogos 2015.

Katanya, tulisan pada perenggan dua berita itu yang didakwa tidak lengkap serta memberi mesej yang tidak benar pada dirinya menyebut:

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, selaku plaintif bersetuju menarik balik saman tanpa sebarang syarat, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk menanggung kos masing-masing.

“Seorang-olah saya pula yang bersalah kerana menarik balik saman itu.

“Ekoran perenggan kedua tidak benar, perenggan-perenggan berikutnya juga mencerminkan tidak benar,” tegas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kepada Wai Hong.

Perbicaraan kes itu ditangguhkan, disusuli proses erata pada 18 Disember tahun lepas, seterusnya sesi keputusan kehakiman yang telah pun dilangsungkan pada pagi ini.

TAGS