Malaysia Dateline

Fitnah Husam terima dana DAP: Mahkamah arah Zawawi bayar RM200,000

Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 dan kos rayuan RM6,000 kepada Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa.

Ini susulan kenyataan di Facebook Wan Zawawi pada 2017 yang mendakwa AMANAH Kelantan menerima dana daripada DAP untuk menjatuhkan kerajaan Pas negeri itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam kepada Husam, iaitu Hisham Fauzi.

Hisham memberitahu, Hakim Datuk Roslan Abu Bakar telah mengarahkan pembayaran itu selepas membenarkan rayuan Husam untuk mendapatkan ganti rugi selepas menang saman fitnah terhadap Zawawi sebelum ini dengan kos perbicaraan sebanyak RM50,000.

Sebelum ini, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu memerintahkan Dr Wan Zawawi membayar ganti rugi sebanyak RM70,000.

Husam yang tidak berpuas hati dengan jumlah tersebut telah mengemukakan rayuan bagi menaikkan jumlah ganti rugi tersebut.

Wan Zawawi juga sebelum ini diarah supaya menarik balik artikel berkenaan dan menyiarkan permohonan maaf kepada Husam di akhbar nasional selama sehari.

Dalam perkembangan sama, mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi terhadap Zawawi daripada mengeluarkan apa-apa pernyataan fitnah terhadap Husam selepas ini.