Malaysia Dateline

Fitnah lagi! Dr Mujahid ambil tindakan undang-undang terhadap Pas

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengambil tindakan undang-undang terhadap Pas susulan satu tulisan fitnah bertajuk “Mantan Menteri Agama PH Sokong Eljibiti?”

Tulisan itu disiarkan di laman facebook rasmi Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Pusat pada 16 Oktober 2022 yang lalu.

Naib Presiden AMANAH melalui firma guaman Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir telah menghantar surat tuntutan fitnah kepada Pas pada semalam 27 Oktober 2022.

Sehubungan itu, pihak Pejabat Agung Pas juga telah mengaku menerima surat tuntutan tersebut di mana mereka telah dituntut mematuhi tuntutan-tuntutan berikut dalam tempoh 48 jam, antara lain:

1.Memadamkan tulisan fitnah tersebut;
2.Menarik balik tulisan fitnah tersebut;
3.Meminta maaf kepada Datuk Seri Dr Mujahid; dan
4.Membayar gantirugi atas kerosakan reputasi Datuk Seri Dr Mujahid.

Dr Mujahid juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sama kepada mana-mana pimpinan Pas yang tidak serik-serik membuat tulisan-tulisan fitnah dan mengaitkan beliau dengan LGBT.

Sebelum ini Dr Mujahid meminta semua pihak menghentikan tuduhan kononnya beliau mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Malah bekas Menteri Agama ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu telah menang kes saman terhadap Harakah berhubung artikel di akhbar lidah rasmi PAS itu yang mengaitkan beliau dengan LGBT.

Justeru itu, Mujahid meminta semua pihak menghentikan tuduhan kononnya beliau mengiktiraf LGBT.

Baca juga; Harakah pula siarkan kenyataan mohon maaf kepada Dr Mujahid