Malaysia Dateline

Fitnah lawatan ke Gaza: Ebit Lew buat laporan polis

Pendakwah bebas yang memasuki Gaza baru-baru ini, Ustaz Ebit Lew hari ini membuat laporan polis bagi menyangkal segala dakwaan yang dianggapnya tidak berasas oleh Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, rakyat Malaysia yang menetap di Palestin atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri.

Bagaimanapun Ebit ketika ditemui tidak menyatakan secara terperinci intipati laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini dan hanya akan membuat penjelasan esok.

“Sebelum ini saya sememangnya berdiam diri terhadap sebarang tohmahan dan fitnah terhadap diri saya, dari dulu lagi namun berkaitan isu terbaru ini apabila saya tiba dari Gaza, anak dan isteri saya sendiri tidak dapat menahan kekecewaan dan menangis tentang segala tuduhan yang datang, maka saya rasa terpanggil untuk membuat laporan polis hari ini.

“Laporan (polis) ini adalah sebagai menyangkal segala dakwaan yang tidak benar berkaitan misi di Semenanjung Gaza, Palestin dan meminta polis menyiasat segala fitnah yang dilemparkan oleh pihak-pihak berkenaan.

“Dalam laporan polis itu, saya telah memberikan nama-nama serta mereka yang memetik dan berkongsi segala kenyataan fitnah pihak itu kepada pegawai penyiasat untuk membantu siasatan polis,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi jam 6.30 petang tadi.