Malaysia Dateline

Fitnah Mujahid: AMANAH Kepala Batas lapor polis

AMANAH kawasan Kepala Batas mendesak PDRM dan SKMM supaya mengambil tindakan segera dengan menyiasat individu yang menggunakan akaun Facebook dengan nama Shamsul Faisal Abdul Wahab setelah didapati memuat naik gambar dan kenyataan jahat

serta fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Demikian dinyatakan oleh Setiausahanya, Shahidan Saaid setelah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara pada Ahad.

Menurut beliau lagi, gambar dan kenyataan yang dimuatkan dalam akaun tersebut turut meletakkan gambar Mujahid sedang menanggung kavadi dengan pernyataan ‘Perayaan Thaipusam 8 Feb 2020 harus hukumnya PH-PAN sertai upacara Thaipusam, Pluralisme dalam agama, Islam Rambutan’ alamin’

“Kenyataan ini merupakan fitnah yang berniat jahat, jelik dan bertujuan untuk menyakitkan hati Mujahid serta boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum.

“Sehubungan itu adalah diharapkan pihak PDRM dan SKMM mengambil tindakan segera dengan menyiasat individu tersebut menurut Sek 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Pemegang akaun tersebut juga harus didakwa dengan pertuduhan dan hukuman yang setimpal, ” ujarnya lagi.

Malah kata Shahidan lagi, dengan tindakan tegas tersebut ia akan memberi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak agar tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Tambahnya, isu ini amat serius dan tidak harus dipandang enteng oleh semua pihak kerana ia mampu memberi impak yang negatif kepada keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.