“Fitnah orang suka-suka pakai nama Allah?”, selar netizen

“Fitnah orang suka-suka pakai nama Allah?”, selar netizen

Laman Facebook Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan hari ini dihujani kritikan ramai netizen yang mengaitkan gejala fitnah dengan kecenderungan Ahli Parlimen Temerloh itu menggunakan nama Allah dalam status di media sosial itu pagi tadi.

Ditulis kira-kira jam 10 pagi, beliau menulis, “Saya mula langkah dan tindakan serta sikap yang saya ambil untuk memulakannya hari ini dengan Nama Allah swt. Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ameen. Rahmaaaka Abghii Ya Ilaahi. Raadhian.”

Walaupun status berkenaan meraih lebih 380 ‘likes’ setakat pukul 3 petang tadi, majoriti komentar daripada 74 komentar berbaur sindiran dan kecaman daripada pengguna Facebook.

Reaksi netizen terbabit dipercayai ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mengarahkan Nasrudin membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng gara-gara artikel kontroversinya, ‘Apa beza Kidex dan Penang tunnel?’ pada 6 Ogos 2014 lalu di Facebook beliau.

“Fitnah orang suka suka pakai nama Allah? Kaki jual agama,” kecam Chad Syazwan Phuii manakala Cikgu Jeril menulis,” Dah buat fitnah, lagi nak ‘backup’ diri guna nama Allah. Tak malu punya ustaz. Apa-apa pun tahniah.”

Sementara itu, Aliff Ashraff secara menyindir berkata, jika dirinya di tempat Nasrudin, beliau akan bersara dan melepaskan semua jawatan politik sebaliknya menjadi penjual kitab sepenuh masa.

“Ostad (Ustaz) betulkah ostad telah memfitnah LGE (Lim Guan Eng) dalam isu tender terbuka? Insaflah ostad. Jangan fitnah,” tegasnya lagi.

Bagi Azmawi Azizan, beliau mendoakan Parlimen Temerloh yang mempunya komposisi campuran akan bertukar Ahli Parlimen pada pilihan raya umum
ke-14 nanti.

Turut menyebut impak keputusan mahkamah tersebut ke atas kerjaya politik pemimpin Pas itu, Omar Shukri Hamzah yang meninggalkan komentar, “Lobilah geng Amno (Umno) cepat-cepat sikit bagi jawatan. Kot- kot PRU (pilihan raya umum) depan dah tak dapat jadi YB Ostad lagi. Apa punya orang agama lagu (macam) ni.”

Nada sama juga disebut oleh Nazri Hazard, “Lain kali ustaz jangan suka sangat tengok blog-blog Umno. Jual je lah maruah tu kat Umno ustaz,” manakala Ramlee Mohammed menyebut, “Jangan jual agama dengan harga yang sangat murah.”

Gunakan lutut dan siku

Menghangatkan lagi situasi di ruangan komentar bagi status pemimpin Pas itu apabila terdapat sebahagian komentar menyebut lutut dan siku iaitu ungkapan popular dalam perbahasan Nasrudin pada Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-61 tahun lalu.

“Tarik ustaz tarik. Jangan lupa, bulan depan pertandingan tarik tali tu. Pastikan pingat emas di genggaman. Gunakan lutut dan siku tu baik-baik,” selar Faizzmeer Syafiq Ruslan.

Begitu juga Ahmad Nafiah yang berkata, “Mana siku, lutut? Mulut tak ada insurans terimalah padahnya. Malu cara ostaz bercakap suka fitnah orang walaupun beliau (Lim Guan Eng) kafir” manakala Ezany Elias membidas, “Apasal tarik balik? Teruskan sajalah. Lain kali jangan cakap pakai siku dan lutut.”

TAGS