Malaysia Dateline

Fitnah seleweng tanah: Husam selesai beri keterangan

Naib Presiden AMANAH, Husam Musa hari ini selesai memberi keterangan berhubung taksiran ganti rugi ekoran saman fitnah penyelewengan tanah yang telah dimenangi.

Peguam Faiz Fadzil yang mewakili Pengerusi AMANAH Kelantan itu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan liabiliti fitnah yang dikemukakan kepada Masri Che Yusuf.

“Doakan kejayaan kami menentang fitnah,” kata Faiz yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu lagi.

Pada 26 Jun tahun lalu, Husam memenangi saman fitnah yang dikemukakan kepada Masri merangkap Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Kelantan dan AJK Kawasan Ketereh.

Masri dalam akaun Facebooknya pada 27 Oktober 2015 menyiarkan gambar dan tulisan yang menuduh Husam telah secara salah memberikan seluas 414.37 hektar kepada sebuah syarikat tanah.