Malaysia Dateline

FMM ketengahkan faktor kejayaan penting bagi era pembuatan baharu Malaysia

Kerajaan yang bersih dan kuat serta ekosistem yang mesra perniagaan dan pelaburan merupakan antara faktor kejayaan utama yang diperlukan oleh era pembuatan baharu Malaysia, demikian menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presidennya Datuk Soh Thian Lai berkata kerajaan yang bersih dan kuat diperlukan untuk memerangi rasuah pada setiap masa dan mengutamakan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kabinet dan pentadbiran yang kuat, cekap dan berkesan yang mengamalkan pertanggungjawapan dan meritokrasi akan memastikam tahap yang sama rata, ketelusan yang tinggi dan perundingan serta perkongsian swasta-awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Soh berkata ekosistem yang mesra perniagaan dan pelaburan akan merancakkan sektor pembuatan, membantu pelabur baharu dan sedia ada untuk berkembang, menaik taraf dan mempelbagaikan perniagaan menerusi manfaat cukai langsung, dengan lebih banyak geran untuk menyokong pelaburan dalam teknologi dan inovasi termasuk teknologi Industri 4.0 terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana.

Menurutnya, perundingan yang kerap dan bermakna bagi dasar dan prosedur kerajaan akan meminimumkan dan mengurangkan kenaikan kos menjalankan perniagaan.

Faktor yang lain, katanya, adalah menumpukan kepada teknologi tinggi dan pengeluaran bernilai tinggi dengan memudahkan dan mempercepatkan akses kepada inisiatif dan bantuan Belanjawan 2019 untuk menyokong pelaksanaan teknologi Industri 4.0, langganan jalur lebar berkelajuan tinggi, inovasi, produktiviti, meningkatkan kemahiran dan latihan semula.

Beliau berkata kempen beli barangan buatan Malaysia perlu juga dilancarkan dengan segera dan memantau dengan rapat pemerolehan dan projek kerajaan serta dipromosikan dengan aktif dalam pasaran tempatan dan luar negara.

Beliau juga menggesa pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas dengan segera, mengetatkan penguatkuasaan ke atas penyeludupan dan pemalsuan termasuk mengetatkan undang-undang perlindungan harta intelek.

Soh juga menggesa ahli-ahli FMM untuk mengoptimumkan penggunaan program bantuan kerajaan yang sesuai bagi melaksanakan inisiatif terutamanya dalam mengguna pakai teknologi, Industri 4.0, meningkatkan kemahiran dan inovasi.

Ahli-ahli FMM, katanya, perlu meningkatkan pengembangan pasaran dan program pempelbagaian untuk menyokong strategi pembangunan pemasaran dan menyediakan dengan segera maklum balas industri kepada persekutuan itu mengenai cabaran yang dihadapinya.

“Ini supaya kerajaan boleh dimaklumkan dan jawatankuasa kerja FMM yang relevan boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam mencari penyelesaian yang sesuai bagi pelbagai isu dalam industri,” katanya.

— BERNAMA