F&N peruntukan capex RM30 juta tahun ini

F&N peruntukan capex RM30 juta tahun ini

Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) telah membuat peruntukan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM30 juta dalam kilang minumannya di Shah Alam pada tahun ini bagi meningkatkan keupayaannya dalam penawaran format pembungkusan dan produk baharu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lin Yew Hoe.

Selain capex, syarikat juga sedang melaksanakan inisiatif bagi mengimbangi cukai gula yang akan berkuat kuasa mulai 1 April, kata Lim kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

F&N yang mengeluarkan pelbagai jenis minuman ringan, akan membuat perubahan resepi ke atas beberapa produk tertentu termasuk mengurangkan kandungan gula dan mengadakan pembungkusan yang lebih kecil.

Semasa pembentangan Bajet 2019 pada November lepas, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan bahawa cukai 40 sen seliter akan dikenakan ke atas minuman ringan yang memasukkan lebih daripada lima gram gula atau pemanis berasaskan gula untuk setiap 100 ml.

Buat permulaan, minuman oren F&N dan sarsi klasik dalam tin 325 ml akan disaiz semula ke dalam tin 250 ml.

“Kami bukan mengelak daripada cukai soda tetapi kami ingin lebih bertanggungjawab kepada peminat minuman soda yang inginkan pengambilan gula yang lebih sederhana dan kepentingan pemegang saham kami,” katanya, sambil menambah bahawa cukai tersebut membabitkan lebih 90 peratus daripada produk syarikat itu.

Kebanyakan produk F&N akan diformulasikan di bawah kandungan gula lima peratus tetapi masih mengekalkan rasa yang asli.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata walaupun 2019 dijangka menjadi tahun yang mencabar, F&N akan memperkenalkan lebih sedozen produk-produk baharu termasuk produk untuk pengguna yang amat mementingkan gaya hidup yang sihat.

“Kami akan memperkenalkan produk ini secara berperingkat sepanjang 2019,” katanya.

Lim ketika bercakap mengenai sasaran eksport F&N, berkata syarikat mahu mencapai jualan RM100 juta eksport ke negara-negara Islam menjelang 2020.

— BERNAMA