Malaysia Dateline

Fokus bantuan golongan bawahan, minta Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan untuk memfokuskan keperluan golongan susah dan miskin yang bergantung kwpada pendapatan harian, dalam pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan Jumaat ini.

Anwar menegaskan, langkah segera perlu diambil bagi menampung kehidupan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS), termasuklah para petani, nelayan, dan pekebun yang semakin terjejas.

Menurutnya, pilihan yang membenarkan rakyat menggunakan wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sama sekali tidak menampung keseluruhan keperluan golongan tersebut.

“(Pengumuman pakej rangsangan ekonomi) ini agak dua minggu terlambat. Dari awal kita sudah menggesa supaya kerajaan lebih tegas, berani menggunakan seluruh dana yabg ada, mengenalpasti keperluan semua lingkungan

“KWSP hanya dapat menampung sebahagian kecil yang berupaya dengan risiko kerana menggunakan wang sendiri dan mengorbankan kepentingan masa depan.

“Tetapi kelompok yang selalu ditinggalkan ialah golongan terpinggir, golongan miskin dan kadangkala mereka terpaksa mengharapkan belas kasihan dari program Foodbank dan Zakat,” katanya dalam menerusi video muatnaik di Facebooknya hari ini.

Pada masa sama katanya, sekiranya tidak ditangani masalah yang wujud dalam kalangan golongan bawahan, isu pengangguran berskala besar akan merebak yang akan menyebabkan masalah ekonomi lebih merosot.

Malah, beliau melahirkan rasa kesal dengan nasib pekebun di Cameron Highlands yang terpaksa membuang beratus tan hasil mereka yang sepatutnya dapat diselamatkan.

“Ini kerana kita tidak mempunyai keupayaan dan tidak mengambil langkah yang perlu untuk mengangkut barang-barang ini dengan kos yang lebih rendah untuk disalurkan kepada kelompok yang lebih memerlukan.

“Oleh demikian, saya mengharap penuh dan mendesak kerajaan supaya mengambil langkah berani, positif, dan cerdas untuk mengusahakan satu rangsangan ekonomi yang lebih melebar dan meluas,” katanya.