Malaysia Dateline

Fokus bela pendidikan, 90 murid terima bantuan persekolahan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan semalam menyerahkan bantuan persekolahan kepada seramai 90 orang kanak-kanak yang terpilih di sekitar Parlimen Kuala Terengganu.

Timbalannya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, berkata, sumbangan yang diberikan membabitkan empat Dun di Parlimen berkenaan, adalah selaras dengan usaha kerajaan yang komited memastikan pendidikan anak-anak terus terbela.

Malah katanya, ia juga demi memastikan persiapan persekolahan lengkap sepenuhnya selain dapat dijadikan sebagai pemangkin semangat mereka untuk memulakan persekolahan.

Bantuan persekolahan kepada seramai 90 orang kanak-kanak yang terpilih di sekitar Parlimen Kuala Terengganu semalam.

“Pagi ini saya meraikan seramai 90 anak anak yang bakal memulakan persekolahan untuk sesi 2020, dengan mengagihkan sedikit sumbangan berupa voucher berjumlah RM100 dari Pejabat Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Saya juga berharap pada tahun hadapan, anak-anak kita semua akan memulakan persekolahan dengan persiapan yang lengkap tanpa ada yang tercicir lagi,” katanya dalam program Ceria Gembira Kembali Ke Sekolah 2020, semalam.

Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan Program Sarapan Percuma untuk semua murid sekolah rendah bermula tahun hadapan juga akan dapat membantu mereka terus cergas dan semangat ketika belajar.

Tambahnya lagi, selain voucher, penerima yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah itu turut menerima manfaat bag sekolah yang diserahkan oleh pasaraya Mydin.

“Saya berharap dengan sedikit sumbangan ini akan dapat meringankan beban keluarga dalam menyediakan perbelanjaan persiapan persekolahan,” ujarnya.